Najib ikrar dukung integriti dan banteras rasuah
Hakim Rahman
Februari 20, 2013 17:53 MYT
Februari 20, 2013 17:53 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berikrar akan mendukung integriti dan mengukuhkan komitmen terhadap agenda pembangunan nasional terutama dalam membanteras gejala rasuah menjelang Pilihan Raya Umum ke-13.
Pengisytiharan terbuka itu dibuat menerusi dokumen ikrar yang ditandatanganinya dalam usaha mengalakkan integriti dan akauntabiliti dikalangan calon.
Menerusi dokumen ikrar yang ditandatangi, beliau menyatakan bahawa hanya pemimpin yang adil boleh mewujudkan sebuah kerajaan yang diterima rakyat.
"Saya percaya sebagai pemimpin Barisan Nasional (BN) yang sebenar, saya perlu menjadi contoh yang baik.
"Hanya calon yang bertanding secara bebas dan adil akan mewujudkan sebuah kerajaan yang dipercayai dan dihormati rakyat," kata Najib seperti yang dipetik menerusi dokumen berkenaan.
Ikrar integriti pilihan raya itu merupakan inisiatif Transparency International Malaysia (TI-M) dan merupakan kontrak sosial yang ditandatangani secara sukarela oleh calon yang akan bertanding pada pilihan raya umum akan datang.
Ia menetapkan calon perlu mematuhi prinsip benar, integriti, termasuk tidak menerima atau memberi rasuah, atau terlibat dalam mana-mana amalan rasuah.
Sementara itu Presiden TI-M, Datuk Paul Low berkata, langkah Perdana Menteri itu akan menjadi ikutan calon lain.
"Kami harap lebih ramai lagi calon dari pelbagai parti menandatangani ikrar ini. Pemilihan calon amat penting kepada mereka yang ingin menbanteras gelaja rasuah serta mempunyai tadbir urus baik dan berintegriti,” kata Paul.
Tambah beliau lagi, sehingga kini terdapat 21 ahli politik telah mengangkat ikrar tersebut termasuk daripada parti pembangkang.