Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengunjungi Zoo Negara hari ini bagi melawat beruang panda gergasi, Fu Wa dan Feng Yi.

Panda berkenaan tiba di Lapangan Terbang Kuala Lumpur pada hari Rabu lepas dan dikuarantin selama 30 hari sebelum boleh dipertontonkan kepada orang awam pada akhir Jun ini.

Dianggarkan RM25 juta dibelanjakan untuk membina kompleks panda gergasi di Zoo Negara dengan melibatkan kawasan eksibit khas berkeluasan 1.6 hektar.

Di Twitter, Najib memuatnaik fotonya bersama beruang panda dari China itu.

Melalui foto, dapat dilihat Najib mengambil gambar panda tersebut dengan keterujaan terpancar diwajah perdana menteri.


Sementara itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein di akaun Twitternya turut berselfie bersama isterinya dan panda tersebut.


Foto kedua pemimpin itu melawat tempat tinggal kedua beruang panda itu juga turut dimuat naik.


Untuk tempoh 10 tahun, Malaysia perlu membayar RM3 juta kepada China setiap tahun untuk membela haiwan berkenaan.

Perkara itu sepertimana dipersetujui dalam Perjanjian Kerjasama Konservasi Antarabangsa Panda Gergasi yang ditandatangani antara Malaysia dan Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar China pada 15 Jun 2012.

Kos penjagaan panda oleh Zoo Negara pula dianggarkan RM1.5 juta setahun.

Sekiranya kedua-dua panda membiak, Malaysia perlu membayar China sebanyak RM2 juta dan hanya boleh menyimpan bayi panda itu untuk tempoh 2 tahun.