Najib harus pertimbang cadangan debat dengan Tun M - Khairuddin

Astro Awani
Mei 18, 2015 18:59 MYT
KHAIRUDDIN: Najib harus pertimbang cadangan debat -Gambar fail
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diminta mempertimbangkan cadangan untuk berdebat dengan Tun Dr Mahathir Mohamad sekali gus menjawab beberapa isu yang dianggap masih tidak berjawab di dalam blog NajibRazak.com.
Bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, debat terbuka dan perbincangan yang disaksikan rakyat dilihat cara terbaik untuk membersihkan nama bekas perdana menteri selain Najib sendiri di mata masyarakat terhadap isu berbangkit kebelakangan ini.
"Sentimen dalam kalangan rakyat mengenai beberapa isu-isu semasa yang sedang melanda negara kita telah menjadi satu isu masyarakat serta kemelut keluh-kesah akar umbi yang sukar dibendung lagi.
"Apa yang memburukkan lagi keadaan ialah Najib sendiri perlu mengembalikan keyakinan di kalangan masyarakat, menjawab di dalam blog tidak menyelamatkan keadaan.
"Apa yang diterangkan oleh Najib seolah-olah tidak diendahkan lagi oleh kebanyakan rakyat. Mereka lihat Najib cuba menutup beberapa isu-isu tanpa memberi penjelasan secara ilmiah, berfakta mahupun komprehensif," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.
BACA: Mahathir sedia berdebat dengan Najib
Khairuddin mengulas jawapan Najib kepada 13 persoalan semasa rakyat negara ini di dalam blognya.
Antara persoalan yang dijawab adalah mengenai isu wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu; syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB); dan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).
BACA: Biarkan Ketua Audit Negara siasat 1MDB terlebih dahulu - Najib
Tegas Khairuddin, Najib dikatakan tidak menjelaskan secara terperinci kepada keseluruhan rakyat yang mahu perbincangan dua hala bersama Dr Mahathir dan menjawab persoalan yang akan ditimbulkan kelak.
"Penafian Najib hanya di dalam blog. Debat harus diadakan secara langsung dan disiarkan di kaca televisyen.
BACA: BR1M bukan rasuah, perlu dinilai di luar pemikiran politik - Najib
"Cara yang terbaik ialah melalui debat secara terperinci yang disusuli dengan sesi soal jawab dari rakyat akar umbi.
"Ini adalah jalan penyelesaian yang terbaik. Biar keseluruhan rakyat dengar kenyataan daripaada Dr Mahathir serta Najib, dan seterusnya kita biarkanlah kepada rakyat untuk menghakiminya," jelasnya.
BACA: Kenapa tidak bangkitkan isu Altantuya 8 tahun yang lalu - Najib
Dr Mahathir sebelum ini menyatakan kesediaannya pada bila-bila masa untuk berdebat secara terbuka dengan Najib berhubung pelbagai isu berbangkit, termasuk 1MDB, dengan disaksikan rakyat jelata.
#blog #Dr Mahathir #Khairuddin #qmdb
;