Najib harap rakyat berbelanja dengan berhemah sambut Syawal
Astro Awani
Jun 26, 2016 13:17 MYT
Jun 26, 2016 13:17 MYT
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berharap rakyat berbelanja dengan berhemah dalam meraikan suasana perayaan yang meriah.
Katanya, apa yang penting dan bermakna dalam menyambut Aidilfitri bukanlah kelengkapan baru, namun ikatan silaturrahim serta kekeluargaan.
"Saya percaya ramai kini yang telah pun memulakan persiapan menyambut syawal seperti membeli kuih raya, barangan runcit selain pakaian, kelengkapan rumah dan sebagainya. Kerajaan memahami bahawa perbelanjaan seisi keluarga bertambah pada musim perayaan," katanya dalam entri terbaharunya di blog najibrazak.com hari ini.
Justeru, kerajaan telah melaksanakan beberapa insiatif seperti mempercepatkan pemberian BR1M, serta menyampaikan bantuan khas hari raya kepada penjawat awam, pesara kerajaan, pekebun kecil, dan peneroka.
"Walaupun begitu, usaha meringankan beban ini tidak terletak di bahu kerajaan semata-mata. Para peniaga dan orang ramai juga perlu memainkan peranan masing-masing," tambahnya.
Beliau juga berharap peniaga perlu memastikan agar barangan dijual pada harga yang berpatutan dan mengikut ketetapan, terutamanya barangan runcit dan makanan yang di bawah senarai harga kawalan selain menawarkan jualan murah.
"Semoga Syawal yang akan tiba ini bakal mengeratkan lagi hubungan antara kita semua, insya-allah," ujar Perdana Menteri.