Najib hadiri Sidang Kemuncak Pemimpin AS - ASEAN di California

Astro Awani
Februari 10, 2016 20:03 MYT
Najib hadiri Sidang Kemuncak Pemimpin AS di California - ASEAN - Gambar fail
Lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Los Angeles, Sunnylands dan San Francisco, Amerika Syarikat (AS) pada Rabu sehingga 17 Februari ini akan membincangkan langkah-langkah mempromosikan Komuniti Ekonomi ASEAN yang bercirikan inovasi dan keusahawanan.
Dalam satu kenyataan Kementerian Luar, lawatan yang diiringi isteri Najib, Datin Sri Rosmah Mansor, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Anifah Aman, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan pegawai dari kementerian berkenaan turut membincangkan isu-isu yang berkaitan dengan keamanan, kemakmuran dan keselamatan di rantau Asia-Pasifik.
"Kemuncak lawatan kerja tersebut adalah penyertaan Perdana Menteri di Sidang Kemuncak Pemimpin AS-ASEAN di Sunnylands, California, pada 15 dan 16 Februari. Semasa Sidang Kemuncak ASEAN-Amerika Syarikat di Kuala Lumpur pada 21 November 2015, Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama telah menjemput semua Pemimpin ASEAN untuk menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin Amerika Syarikat-ASEAN.
"Tujuan Sidang Kemuncak tersebut adalah untuk meraikan peningkatan taraf hubungan dialog ASEAN-Amerika Syarikat kepada perkongsian strategik dan sebagai wadah untuk Pemimpin ASEAN dan Amerika Syarikat untuk bertukar-tukar pandangan terutamanya mengenai kerjasama serantau ASEAN-AS serta isu-isu serantau dan antarabangsa.
"Di akhir Sidang Kemuncak tersebut, pemimpin dijangka mengeluarkan satu dokumen yang menekankan prinsip-prinsip yang dipersetujui antara ASEAN dan AS dalam memajukan hubungan dialog di bawah perkongsian strategik yang baru," jelas kenyataan itu.
Jelas kenyataan itu lagi, semasa lawatan tersebut, Najib akan mengadakan perjumpaan dengan diaspora rakyat Malaysia dan pelajar di Los Angeles.
"Di San Francisco, Najib akan mengadakan mesyuarat meja bulat dengan Pengurus Dana, bertemu dengan kapten-kapten industri, serta lawatan Apple Inc dan TESLA Motors," jelas kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, Malaysia dan AS akan terus menikmati hubungan dua hala yang rapat dan akrab dalam bidang utama kerjasama termasuk politik, ekonomi, pertahanan dan keselamatan.
"Jumlah perdagangan dua hala bagi tempoh Januari - November 2015 bernilai RM124 bilion (USD30.24 bilion), peningkatan sebanyak 10.6 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2014, dengan eksport bernilai USD RM71 bilion (17.20 bilion) dan import bernilai RM54 bilion (USD 13.04 bilion).
"Amerika Syarikat merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia pada 2014," jelas kenyataan itu.
#AS #ASEAN #ekonomi #najib
;