Najib hadir di mahkamah sehari selepas dimasukkan ke hospital

Astro Awani
September 5, 2022 03:10 MYT
Kenderaan utiliti sukan diiringi pihak polis dan Jabatan Penjara yang membawa Najib hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini, bagi sambungan perbicaraan berhubung kes 1MDB yang dihadapinya. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak hadir di mahkamah hari ini walaupun bekas Perdana Menteri itu sebelum ini dilapor dimasukkan ke hospital bagi menjalani pemeriksaan kesihatan.
Ahli Parlimen Pekan itu yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang tiba sekitar 8.50 pagi di Mahkamah Tinggi di sini bagi perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Najib, 69 tahun, dilihat memakai sut berwarna gelap dan diiringi pegawai penjara bagi menghadiri prosiding di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.
Turut kelihatan hadir, isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.
Semalam Astro AWANI melaporkan, pegawai Najib mengesahkan beliau dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) baru-baru ini.
Bagaimanapun, keadaan Najib dilapor stabil dan sedang melalui kesemua siasatan perubatan yang diperlukan.
Najib menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.
#1Malaysia Development Berhad #Najib Razak #1MDB #Rosmah Mansor