Najib doakan Nik Aziz segera sembuh
Bernama
Januari 21, 2015 19:54 MYT
Januari 21, 2015 19:54 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini mendoakan agar Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat segera sembuh selepas mendapat rawatan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di Kelantan sejak semalam.
"Semoga Datuk Nik Abdul Aziz dikurniakan kesihatan oleh Allah SWT dan cepat sembuh dan diberi sebaik kesihatan oleh Allah SWT," katanya di dalam catatan terbaharu di laman Facebook dan Twitter.
Nik Aziz, 84, dimasukkan ke HUSM Isnin malam berikutan tahap kesihatannya yang menurun sejak banjir besar melanda Kelantan bulan lepas, selain menghidap kanser prostat.
Anak lelakinya Nik Mohamad Abduh hari ini berkata ayahandanya itu dilaporkan stabil dan menunjukkan reaksi lebih baik serta semakin positif terhadap semua rawatan yang diberikan.
Nik Aziz, yang menjadi menteri besar Kelantan sejak 1990, menyerahkan jawatan itu kepada timbalannya Datuk Ahmad Yakob selepas Pilihan Raya Umum ke-13 pada 2013.