Najib diundang naik MRT semalam

Hasimi Muhamad
Jun 16, 2022 18:24 MYT
Najib memuat naik gambar menaiki MRT Laluan Putrajaya semalam - Foto Facebook Najib Razak
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak diberi peluang untuk menaiki perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya Fasa Satu sehari lebih awal berbanding pelancaran hari ini susulan hasrat yang disuarakan oleh bekas Perdana Menteri itu di laman sosialnya.
Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Mohd Zarif Hashim berkata, kerana itu, pihaknya menyampaikan undangan kepada Ahli Parlimen Pekan itu untuk merasai pengalaman tersebut.
“Oleh kerana tweet itu, kami balas,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya Fasa Satu di sini hari ini.
Mohd Zarif mengulas dakwaan bahawa Najib diberikan 'layanan istimewa' untuk menaiki perkhidmatan itu bersama keluarganya pada Rabu, yang mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen.
Bukan sahaja Najib, Mohd Zarif menambah bahkan pihaknya turut mengemukakan undangan sama kepada beberapa pihak lain termasuk ketua masyarakat.
“Banyak yang menjadi pengunjung kalau lihat di Internet kebelakangan ini, semalam beliau (Najib) merupakan salah seorang pengunjung itu, itu sahaja,” ujarnya lagi.
Cerita Sebalik Berita: Perkhidmatan Percuma | Kerajaan peruntuk RM155 juta subsidi
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia menjadi hak MRT Corp untuk menjemput mana-mana individu nenaiki pengangkutan awam berkenaan.
"Saya tak tahu… ini mungkin MRT jemput dia, saya tak tahu.
“Saya tak nak komen dari segi niat MRT jemput (Najib). Hari ini saya baru lancarkan dan semalam MRT jemput (Najib). Itu hak MRT,” katanya.
Najib pada 21 Mei lalu melalui hantaran di Facebook menyatakan 'tidak sabar' untuk menaiki perkhidmatan MRT Laluan Putrajaya apabila menyaksikan projek tersebut tertangguh selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
#Najib Razak naik MRT #ismail sabri yaakob #MRT Laluan Putrajaya #berita hari ini
;