Najib dipenjara: 'Datuk Seri sihat' - Rosmah

Hasimi Muhamad
Ogos 25, 2022 16:28 MYT
Rosmah ketika ditemui media enggan mengulas lanjut tahap kesihatan bekas Perdana Menteri itu. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: “Datuk Seri sihat, alhamdulillah..."
Demikian reaksi Datin Seri Rosmah Mansor berhubung keadaan suaminya, Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah memasuki hari ketiga menjalani hukuman di Penjara Kajang.
Rosmah ketika ditemui media bagaimanapun enggan mengulas lanjut tahap kesihatan bekas Perdana Menteri itu.
“Tak ada apa (mahu diperkatakan). Datuk Seri (Najib) sihat,” katanya kepada pemberita ketika keluar dari Kompleks Mahkamah Tinggi di sini sekitar pukul 3.30 petang.
[LAPOR LANGSUNG] Kes SRC: Mahkamah kekal sabitan dan hukuman, Najib dipenjara 12 tahun, denda RM210 juta
Terdahulu, beliau yang berbaju kurung merah jambu hadir sekitar pukul 12.25 tengah hari bagi memberikan sokongan kepada Ahli Parlimen Pekan itu pada perbicaraan kes berhubung penyelewengan dana RM2.3 bilion daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Najib di Penjara | 'Datuk Seri sihat' – Rosmah
Najib menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.
Mengulas lanjut, Rosmah turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada para penyokong Najib.
“Terima kasih banyak-banyak kerana datang beri sokongan,” tambah Rosmah.
Sementara itu, Najib yang dilihat meninggalkan pekarangan Kompleks Mahkamah Tinggi sempat melambai tangan kepada pengamal media.
Beliau dibawa semula ke Penjara Kajang menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) sekitar pukul 4.10 petang.
Pada Selasa, Najib dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
#kes 1MDB Najib #Najib dipenjara #SRC International #Rosmah Mansor
;