'Najib dan Rosmah perlu tabah hadapi fitnah' - Syed Ali

Astro Awani
Jun 30, 2015 18:13 MYT
SYED ALI: 'Najib dan Rosmah perlu tabah hadapi fitnah' - Gambar fail
Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee mahu Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor sentiasa tabah dalam menghadapi kecaman pelbagai pihak terhadap mereka.
Katanya, pasti ada pihak yang tidak menyenangi Perdana Menteri walaupun setiap hari dilihat bertungkus lumus bekerja untuk membangunkan negara dan rakyat.
"Perdana Menteri dan keluarga kena tabah, biasalah, orang akan kritik dan buat fitnah, tidak buat kerja salah, buat kerja pun salah.
"Sebagai pemimpin perkara itu merupakan lumrah dunia apabila terdapat pihak yang sering tidak berpuas hati terhadap mereka.
"Walaupun kerajaan telah melakukan yang terbaik untuk rakyat, tetapi ada pihak tetap menyalahkan Perdana Menteri, kita mahu mereka tabah dan bersabar berdepan dengan pelbagai ujian," katanya dalam catatan terbaharu di laman blog http://umnobahagiancheras.blogspot.com.
Beberapa portal sebelum ini mengambil kenyataan beberapa pemimpin pembangkang yang banyak menghentam Najib serta Rosmah di dalam penulisan mereka.
Ia termasuk beberapa berita mengenai syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dikatakan sengaja dijadikan isu untuk menjatuhkan Najib.
Ujar Syed Ali lagi, majoriti rakyat tetap bersama Najib kerana sedar kerajaan telah banyak membantu mereka.
"Saya minta Rosmah tabah. Kalau kita tabah dan kuat, Allah bersama kita. Saya faham betapa dasyatnya fitnah dilemparkan tetapi yakinlah, kita berada dipihak yang benar.
"Biasalah orang hendak mengata. Orang yang mengata itu dia tidak tengok diri dia sebelum hendak mengata orang lain," katanya.
BACA: Media pro-pembangkang sengaja lagakan Tun M dengan Najib - Syed Ali
Sebelum ini, Syed Ali menyifatkan media terutama media sosial sengaja membesar-besarkan isu hubungan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan Najib.
Tegasnya, ia dilihat cenderung kepada portal berita pro-pembangkang yang sengaja mengeksploitasikan isu tersebut untuk menjatuhkan Perdana Menteri.
#fitnah #Mahathir #najib #Rosmah #Syed Ali
;