Najib: China sahkan minat sertai projek kereta api laju

Bernama
November 23, 2015 22:44 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor bergambar bersama Perdana Menteri China Li Keqiang dan isterinya Cheng Hong pada majlis makan malam di Seri Perdana. - Gambar Bernama
Malaysia maklum dengan minat China untuk menyertai projek kereta api laju antara Kuala Lumpur dan Singapura, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Najib berkata Malaysia akan menimbang minat China itu atas dasar proses tender antarabangsa.
"Kedua-dua pihak bersetuju untuk terus memudahkan pembangunan diselaras projek taman berkembar perindustrian kedua-dua negara dan bersama-sama meneroka peluang menggalakkan kerjasama dalam bidang keutamaan.
"Ia termasuk pengangkutan kereta api, pembinaan kapal, maklumat, komunikasi dan teknologi, penjanaan kuasa dan pembuatan besi dan keluli," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar bersama dengan Perdana Menteri China, Li Keqiang, di sini, hari ini.
Malaysia dan China hari ini memeterai lapan memorandum persefahaman (MOU) kerajaan kepada kerajaan untuk meningkatkan hubungan dalam perdagangan, budaya dan pentadbiran.
Permeteraian MOU itu diadakan bersempena dengan lawatan rasmi Li ke Putrajaya.
Di bawah Bajet 2016 yang dibentangkan bulan lepas, kerajaan akan meneruskan rundingan kereta api laju dengan Singapura.
Cadangan projek sejauh 350 kilometer itu dijangka menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura dalam masa hanya 90 minit dan juga menarik minat Jepun dan Korea Selatan.
Sementara itu, bagi memudahkan lagi kerjasama ekonomi dan perdagangan yang telah sedia rancak, kedua-dua pihak akan mengukuhkan lagi perdagangan dua hala, menggalakkan dan menyokong pelaburan dua hala, menggalakkan pembabitan sektor swasta dan menyokong kerjasama antara perusahaan kecil dan sederhana dan institusi perkhidmatan kedua-dua negara seperti yang ditetapkan dalam 'Program Lima Tahun bagi Kerjasama Ekonomi dan Perdagangan'.
#China #kereta api laju #Kuala Lumpur #Li Keqiang #Singapura
;