Najib bertemu perdana menteri Jepun di Manila
Bernama
November 12, 2017 20:36 MYT
November 12, 2017 20:36 MYT
Beberapa jam selepas tiba di ibu negara Filipina untuk Sidang Kemuncak ASEAN ke-31 dan Sidang Kemuncak Berkaitan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memulakan jadualnya yang padat dengan bertemu rakan sejawatannya dari Jepun, Shinzo Abe.
Pertemuan 30 minit itu berlangsung di Crown Tower Hotel yang menjadi tempat penginapan Najib dan delegasi beliau.
Dalam pertemuan itu, Perdana Menteri diiringi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Duta Besar Malaysia ke Filipina Datuk Raszlan Abdul Rashid.
Para pegawai enggan bercakap mengenai apa yang berlaku pada mesyuarat itu namun brosur Abenomics, yang merujuk kepada dasar-dasar ekonomi yang dianjurkan oleh Abe sejak pilihan raya umum pada Disember 2012, telah diedarkan kepada delegasi Malaysia.
Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, Jepun juga telah meningkatkan usaha bagi mendapatkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR).
Sepanjang pertemuan mereka di Tokyo pada November, 2016, Abe menyuarakan harapannya agar Malaysia akan memperkenalkan teknologi kereta api laju Jepun apabila ia membina HSR.
Jepun, yang terkenal dengan kereta api berkelajuan tinggi Shinkansen, dan China adalah antara pesaing utama bagi HSR.
Negara itu merupakan satu daripada pelabur terbesar di Malaysia, dengan nilai pelaburan kumulatif firma Jepun di Malaysia berjumlah RM52 bilion.
-- BERNAMA