Najib berharap hubungan Malaysia-China kekal kukuh

Bernama
Oktober 4, 2013 07:26 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berharap hubungan akrab antara Malaysia dan China akan terus kekal kukuh.
Dalam posting terbaru di Facebook beliau, Najib berkata beliau telah diwawancara agensi berita China, Xinhua dan CCTV China mengenai hubungan antara kedua-dua negara menjelang lawatan negara Presiden China Xi Jinping ke Malaysia.
"China telah menjadi rakan baik Malaysia selama 40 tahun dan, dengan lawatan yang bermula Khamis (semalam), saya berharap hubungan akrab antara kedua-dua negara diperteguh dan meliputi semua lapisan masyarakat kita," katanya.
Xi tiba di Malaysia semalam untuk lawatan negara tiga hari yang merupakan hentian keduanya dalam lawatan julung kali ke Asia Tenggara selepas memegang jawatan itu pada Mac.
Lawatan Xi amat penting kerana ia menandakan komitmen pemimpin baharu China itu untuk mengekalkan hubungan akrab sekian lama dengan Kuala Lumpur sejak terjalinnya hubungan diplomatik 39 tahun lepas.
Dalam wawancara dengan Xinhua dan CCTV China, Najib berkata lawatan Xi memaparkan hasrat Beijing untuk meneruskan hubungan baik dengan Malaysia, yang beliau percaya akan terus kukuh di bawah kepimpinan baharu China.
Kedua-dua media China itu memetik Najib sebagai berkata Malaysia mahu meningkatkan lagi hubungan dengan China dan menerokai kerjasama dalam bidang-bidang baharu.
"Kedua-dua negara perlu menjadikan hubungan mereka lebih luas dengan memasukkan lebih banyak bidang untuk kerjasama seperti pendidikan, teknologi dan kewangan.
"Lagipun, Malaysia mengalu-alukan lebih banyak pelaburan China ke dalam negara ini, yang merupakan antara bahagian penting kerjasama dua hala," kata Najib, dan menurutnya beberapa perjanjian pelaburan baharu akan ditandatangani semasa lawatan Xi.
Najib berkata Malaysia dan China berkongsi banyak isu pelbagai hala, dan menggesa kedua-dua negara bekerjasama rapat dalam usaha memastikan keamanan, kestabilan dan kemakmuran di seluruh rantau ini.
Malaysia merupakan antara negara anggota Asean yang pertama menjalin hubungan diplomatik dengan China dan kedua-dua negara akan menyambut ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik tahun depan.
Najib berkata beliau merancang melawat China dan tidak sabar untuk bekerjasama dengan Beijing mengenai beberapa acara utama sempena sambutan ulang tahun itu.
Perdana Menteri berkata hubungan Malaysia-China telah berkembang "pesat" sejak 1974 apabila almarhum ayahandanya Tun Abdul Razak Hussein, perdana menteri Malaysia ketika itu, melakukan lawatan bersejarah ke Beijing dan menjalin hubungan dengan China.
Perdagangan dua hala China dan Malaysia mencecah US$94.8 bilion tahun lepas, dengan China ialah rakan perdagangan terbesar Malaysia untuk empat tahun berturut-turut manakala Malaysia menjadi rakan perdagangan terbesar China dalam rantau Asean sejak lima tahun lepas.
Petikan wawancara Najib boleh diakses di http://bit.ly/17w2tGG
#najib #Xi Jinping