Najib bantah permohonan Majlis Peguam cabar keputusan Lembaga Pengampunan

Bernama
Ogos 7, 2024 12:53 MYT
Najib, 70, menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng RM42 juta daripada dana SRC International Sdn Bhd. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak memfailkan bantahan awal terhadap tindakan Majlis Peguam mencabar keputusan Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjara dan denda bekas Perdana Menteri itu atas alasan Mesyuarat Agung Tahunan badan profesional itu tidak sah.

Ringkasan AI
  • Datuk Seri Najib Tun Razak membantah tindakan Majlis Peguam mencabar keputusan Lembaga Pengampunan, mendakwa Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) mereka tidak sah kerana tidak cukup kuorum.
  • Peguam Najib, Muhammad Farhan Muhammad Shafee, menyatakan Majlis Peguam tidak mempunyai hak undang-undang untuk memulakan tindakan kerana AGM ke-78 tidak mencapai kuorum yang diperlukan, menjadikan keputusan untuk memfailkan semakan kehakiman terbatal dan ultra vires.
  • Majlis Peguam memfailkan semakan kehakiman pada 26 April terhadap keputusan Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjara dan denda Najib, mendakwa keputusan tersebut tidak sah dan tidak berperlembagaan.

Najib, menerusi afidavit yang diikrarkan oleh peguamnya Muhammad Farhan Muhammad Shafee, menyatakan bahawa Majlis Peguam tidak mempunyai locus standi untuk memulakan tindakan undang-undang tersebut kerana usul yang diluluskan pada AGM ke-78 badan itu adalah terbatal, ultra vires dan melanggar kewajipan statutori seperti diperuntuk dalam Akta Profesion Undang-Undang (LPA) 1976 apabila ia diadakan tanpa kuorum kehadiran yang diperlukan.
Muhammad Farhan dalam afidavit yang difailkan pada 6 Ogos berkata antara usul yang dikemukakan pada AGM itu ialah mendapatkan kelulusan ahlinya untuk memfailkan semakan kehakiman terhadap Lembaga Pengampunan berhubung keputusan mengenai hukuman penjara dan denda Najib.
"Menurut Seksyen 64(4) Akta Profesion Undang-Undang 1976, kuorum bagi memulakan AGM memerlukan kehadiran 500 ahli Majlis Peguam. Bagaimanapun, saya percaya bahawa pada 10 pagi 16 Mac, kuorum yang diperlukan tidak dapat dicapai.
AGM itu telah bermula pada 12.15 tengah hari 16 Mac dengan kehadiran hanya 401 ahli (kira-kira 1.6 peratus daripada jumlah ahli majlis peguam), di bawah kuorum yang diperlukan dan usul untuk memfailkan semakan kehakiman yang didakwa dibincang serta diluluskan sehingga menyaksikan permohonan ini.
"Saya percaya AGM ke-78 Majlis Peguam adalah terbatal dan tidak sah di sisi undang-undang menyebabkan keputusan untuk memfailkan permohonan ini adalah ultra vires serta perlu dibatalkan," katanya.
Peguam itu juga berkata, Majlis Peguam tidak mempunyai locus standi bagi memulakan tindakan undang-undang itu kerana mereka tidak mempunyai sebarang kepentingan dalam perkara berkaitan pengampunan Najib.
Majlis Peguam telah memfailkan permohonan bagi kebenaran semakan kehakiman itu pada 26 April lepas yang menamakan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya bersama-sama Najib sebagai responden.
Ia memohon deklarasi bahawa keputusan Lembaga Pengampunan pada 29 Jan lepas berhubung permohonan Najib untuk mengurangkan separuh daripada hukuman penjara beliau yang menyaksikan pembebasan awal beliau pada 23 Ogos 2028 adalah terbatal, tidak berperlembagaan dan tidak sah.
Majlis Peguam juga memohon deklarasi bahawa keputusan Lembaga Pengampunan untuk mengurangkan denda Najib daripada RM210 juta kepada RM50 juta dengan syarat jika ia gagal dibayar, hukuman penjaranya akan dilanjutkan selama setahun, menyebabkan pembebasan awal pada 23 Ogos 2029 adalah terbatal, tidak berperlembagaan dan tidak sah.
Najib, 70, menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng RM42 juta daripada dana SRC International Sdn Bhd.
Beliau kemudian memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja pada 2 September 2022 dan Lembaga Pengampunan mengurangkan tempoh hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
- BERNAMA
#Najib Razak #lembaga pengampunan #Majlis Peguam #Bantahan