Najib arah siasatan segera kes seleweng dana kerajaan RM100 juta

Bernama
Mac 22, 2016 14:00 MYT
Perdana menteri turut mengarahkan semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan supaya meningkatkan lagi tahap pemerhatian, ketelusan dan akauntabiliti.- Foto AP
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah mengarahkan supaya siasatan berhubung isu penyelewengan dana kerajaan berjumlah lebih RM100 juta di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dilakukan dengan serta merta.
Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dr Ali Hamsa, berkata perdana menteri turut mengarahkan semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan supaya meningkatkan lagi tahap pemerhatian, ketelusan dan akauntabiliti.
Beliau berkata, kerajaan amat bimbing dengan laporan bahawa sejumlah RM100 juta dana kerajaan kemungkinan diseleweng daripada KBS.
"Rasuah merupakan musuh yang perlu kita perangi di negara ini dan kerajaan tidak akan berkompromi dalam hal ini," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Kenyataan itu susulan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Jumaat lepas, menahan sembilan orang termasuk seorang Setiausaha Bahagian KBS yang dikatakan menerima suapan dianggar mencecah RM20 juta.
Pegawai kanan berusia 56 tahun itu bersama lapan individu lain termasuk seorang wanita, ditahan SPRM kerana disyaki mendalangi satu sindiket menyeleweng dana kerajaan bernilai RM107 juta.
VIDEO: Audit forensik akan dilakukan ke atas Kementerian Belia dan Sukan - Ketua Setiausaha Negara
BACA: Isu penyelewengan: Pegawai kanan KBS salah guna prosedur - Khairy
BACA: 'Khairy perlu bertanggungjawab, bagaimana dana boleh hilang dengan mudah? - Wira Perkasa
#Dr Ali Hamsa #ketua setiausaha negara #KSN #SPRM #Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
;