Najib arah KPM tambah baik kondisi SK Taman Sungai Besi Indah

Harits Asyraf Hasnan
Ogos 24, 2015 00:36 MYT
Arahan Najib itu susulan daripada lawatan yang dihadiri beliau di sekolah tersebut yang kini ditempatkan buat sementara di kawasan perindustrian Sungai Besi. - Sumber Foto Facebook Najib Razak
Kementerian Pendidikan diarah mengambil beberapa langkah segera bagi memastikan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Sungai Besi Indah dapat menjalani proses pembelajaran dalam persekitaran kondusif dan selesa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu kementerian itu memastikan keadaan lebih selesa di setiap bilik termasuk perpustakaan.
"Kawasan lapang di pintu depan perlu dilitupi 'awning' supaya murid-murid dapat mengadakan aktiviti luar bilik darjah serta memastikan mereka dilindungi daripada sinar matahari terik dan hujan," katanya dalam catatan di blognya, NajibRazak.com pada Isnin.
Arahan Najib itu susulan daripada lawatan yang dihadiri beliau di sekolah tersebut yang kini ditempatkan buat sementara di kawasan perindustrian Sungai Besi.
Pada masa sama, Najib mahu Kementerian Pendidikan memastikan tambahan bilik air bagi keselesaan pelajar dan kakitangan sekolah.
"Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tan Sri Madinah Mohamad akan melaksanakan kesemua langkah berkenaan demi keselesaan kakitangan dan murid.

Saya telah arahkan Kementerian Pendidikan ambil tindakan segera agar murid2 SK Tmn Sg Besi Indah belajar dgn selesa https://t.co/romvecwz2o

— Mohd Najib Tun Razak (@NajibRazak) August 24, 2015
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
"Beliau akan melaporkan status kemajuannya kepada saya sehingga selesai," kata Najib.
Media sebelum ini melaporkan sekolah asal itu mengalami kerosakan teruk yang boleh mengancam keselamatan akibat projek perumahan berhampiran.
#Madinah Mohamad #Najib Razak #najibrazak.com #Sekolah Kebangsaan Taman Sungai Besi Indah
;