Najib akan fail pembelaan saman oleh PKR 1 Oktober - Peguam
Hans Yusoff
September 3, 2015 18:18 MYT
September 3, 2015 18:18 MYT
Mahkamah Tinggi mengarahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta tiga individu lain memfailkan pembelaan terhadap saman yang difailkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) berhubung dakwaan perbelanjaan berlebihan dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Peguam, Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mewakili Najib memberitahu anak guamnya itu akan memfailkan pembelaan pada 1 Oktober depan.
"Saya telah dihubungi oleh Perdana Menteri pagi ini dan beliau telah melantik saya untuk mewakilinya.
"Mahkamah telah menetapkan pada 1 Oktober untuk Perdana Penteri menfailkan pembelaannya," katanya kepada Astro AWANI di sini, hari ini.
Nama lain yang diletakkan sebagai defendan adalah Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Sementara itu, ketika ditanya sama ada tindakan undang-undang yang difailkan ini melalui prosedur yang betul, Mohd Hafarizam berkata, perkara sedemikian sepatutnya melalui Mahkamah Pilihan Raya.
"Apa jua tindakan yang mempersoalkan tentang keputusan pilihan raya, perbelanjaan pilihan raya, perlu melalui prosedur yang berbeza iaitu melalui Mahkamah Pilihan Raya."
PKR pada 12 Ogos lalu memfailkan saman terhadap Najib kerana didakwa melanggar undang-undang pilihan raya susulan pendedahan The Wall Street Journal (WSJ) berhubung dana AS$700 juta (RM2.6 bilion) di dalam akaun peribadinya.
Pihak plaintif terdiri daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Batu, Chua Tian Chang, bekas Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan bekas ahli PAS , Dr Dzulkefly Ahmad.
Najib sebelum ini menafikan dana terbabit telah digunakan untuk tujuan peribadi dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut mengesahkan RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun Perdana Menteri itu ialah sumbangan dari penderma Timur Tengah sebagai satu sumbangan politik.