Najib akan bantu peneroka Felda terjejas

Sinar Harian
November 22, 2018 23:23 MYT
Najib berjanji untuk menjalankan tanggungjawabnya dalam membantu rakyat termasuk membela nasib peneroka Felda walaupun sudah tiada kuasa sebagai kerajaan. - Astro AWANI/Fail
Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersimpati dengan nasib peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang didakwa semakin suram selepas Pakatan Harapan mengambil alih tampuk pemerintahan negara.
Katanya, ketika bertemu peneroka di Jengka 10, Pahang baru-baru ini, ada yang mendakwa pendapatan mereka hanya RM300 sekarang berbanding lebih RM3,000 sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.
"Inilah hakikat yang dihadapi, sebab (itu) saya tak hairan ada pertanyaan tadi (tentang hasil peneroka kurang).
"Di dalam rancangan Felda, dahlah pendapatan kurang, lambat pula bayaran itu. Ini menyebabkan di dalam kawasan-kawasan Felda, keadaan sekarang ini begitu suram. Ada orang kata bukan suram, tapi 'kami berkabung'. Saya nampak bukan sahaja Felda, tetapi keseluruhan kawasan luar bandar (begini isunya)," katanya ketika Sinar Live eksklusif bersama Datuk Seri Najib Tun Razak di Sinar Harian, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya pelayar Sinar Harian tentang bantuan yang boleh diberikan Najib terhadap golongan Felda susulan kehidupan peneroka tidak seperti ketika zaman Barisan Nasional mentadbir negara.
Dalam pada itu, Najib berjanji untuk menjalankan tanggungjawabnya dalam membantu rakyat termasuk membela nasib peneroka Felda walaupun sudah tiada kuasa sebagai kerajaan.
"Saya sudah tidak ada kuasa, saya cuma ada kemampuan untuk buat ucapan di Parlimen, dalam Facebook, Twitter dan sebagainya.
"Saya akan teruskan sebab itu tanggungjawab saya. Saya nak buat apa-apa yang boleh bantu rakyat dan saya Insya-ALLAH akan teruskan," katanya.
#Felda #Najib Razak #Pakatan Harapan #Sinar Harian
;