Najib adalah 'showrunner' 1MDB - Bekas CEO 1MDB

Bernama
Januari 5, 2021 23:30 MYT
Najib, 67, menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan jumlah yang sama. - Bernama
KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa pemegang saham sebenar 1MDB adalah kerajaan manakala semua pengurusannya adalah di bawah kuasa bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Mohd Hazem Abd Rahman, 47, berkata walaupun Ahli Lembaga Pengarah 1MDB mempunyai kuasa untuk membuat pertimbangan dan keputusan, namun semua urusannya akan ditentukan oleh Najib kerana beliau memegang kuasa veto.
Mohd Hazem berkata demikian semasa merujuk Artikel 117 Memorandum dan Artikel Pertubuhan (M&A) 1MDB, ketika disoal oleh peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada perbicaraan Najib di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.
Artikel 117, antara lain menyebut bahawa segala hal penting termasuk pemecatan pengarah, jawatankuasa kewangan dan perubahan dalam pasukan pengurusan, semuanya memerlukan persetujuan Perdana Menteri.
Peguam menyoal saksi pendakwaan ke-10 itu, sama ada beliau pernah mendapati Najib telah ‘menggunakan’ Artikel 117? dan saksi bertanyakan: "Apa yang dimaksudkan ‘menggunakan”?.
Muhammad Shafee: Seperti halnya, beliau mengguna pakai perkara dalam Artikel 117 untuk 'menggunakan' kuasanya.
Mohd Hazem: Tidak.
Muhammad Shafee: Anda boleh mengatakan dengan pasti bahawa Datuk Seri Najib sebagai PM (Perdana Menteri) ketika itu, tidak pernah menggunakan Artikel 117?
Mohd Hazem: Tidak dalam hal begitu. Setahu saya, perkara-perkara kritikal perlu disetujui oleh Datuk Seri Najib.
Muhammad Shafee juga menyoal saksi sama ada beliau menyedari bahawa Najib menjawat pelbagai jawatan ketika itu, antaranya sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB dan Artikel 117 secara khusus, berkaitan dengan peranan Najib sebagai Perdana Menteri ketika itu.
Mohd Hazem: Tidak kira 'jawatan’ apa yang disandang Datuk Seri Najib, persetujuan beliau diperlukan.
Muhammad Shafee: Jadi anda bersetuju bahawa beliau mempunyai kuasa untuk membuat keputusan?
Mohd Hazem: Ya.
Muhammad Shafee: Itu adalah cara yang salah untuk melakukannya. Saya menyatakan bahawa tafsiran anda salah.
Mohd Hazem: Saya tidak setuju dengan anda.
Dalam isu lain, Mohd Hazem bersetuju dengan cadangan peguam bahawa komisen berjumlah RM801 juta yang dibayar kepada Goldman Sachs untuk pemerolehan 1MDB Energy (Langat) Limited adalah "sangat tinggi".
Saksi itu juga bersetuju dengan cadangan Muhammad Shafee bahawa terdapat cara lain yang lebih murah untuk mendapatkan pembiayaan.
Muhammad Shafee: Apa cara lain yang boleh digunakan untuk mendapatkan pembiayaan yang lebih murah?
Mohd Hazem: Mereka mungkin boleh melakukan proses pembidaan yang kompetitif antara bank-bank.
Muhammad Shafee: Tetapi, tidak ada proses pembidaan.
Mohd Hazem: Saya rasa tidak ada. 1MDB mungkin menggunakan jaminan daripada kerajaan atau mengumpulkan dana dengan bank tempatan sebagai gantinya.
Najib, 67, menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan jumlah yang sama.
Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.
-- BERNAMA
#1MDB #bekas perdana menteri #Najib Razak #Mahkamah Tinggi #pemegang saham #kuasa veto #perbicaraan #mahkamah
;