Naikkan pendapatan pekerja B40 demi kemakmuran bersama

Fakhrurrazi Rashid
November 27, 2019 07:32 MYT
Kerajaan memainkan peranan untuk mengenal pasti industri atau sektor baharu yang dapat memberi peluang pekerjaan dan gaji setimpal kepada pekerja B40 dan berkemahiran rendah. - Gambar hiasan
JUN lalu, media melaporkan tentang pekerja Indonesia dan Vietnam tidak lagi berminat bekerja di Malaysia akibat tawaran gaji yang rendah. Mereka melihat kadar gaji di Malaysia yang rendah ini kini setanding dengan gaji negara asal mereka.
Jika pekerja asing pun sudah mengeluh dan merasai keperitan gaji yang rendah di Malaysia, bagaimana pula dengan pekerja tempatan yang sudah bertahun-tahun kerja tetapi gaji masih rendah?
Pekerja bergaji rendah sering dikaitkan dengan golongan kurang kemahiran daripada isi rumah berpendapatan rendah (B40). Dakwaan bahawa pekerja B40 ini tidak produktif, memilih kerja dan ‘malas’ adalah tidak benar. Hakikatnya, golongan ini merupakan pekerja paling ramai menggorbankan masa dan tenaga melakukan pelbagai pekerjaan untuk menambah pendapatan.
Minggu lalu, saya berkenalan dengan seorang 'Abang' di pasar besar Cheras. Dia bekerja mengambil upah jual sayur di pasar pada waktu pagi dan malamnya pula berniaga sate secara kecil-kecilan. Namun, pendapatan yang diperolehi tetap rendah meskipun sudah lakukan dua kerja sehari.
Pekerja seperti abang ini memerlukan kesabaran dan kepakaran berdepan dengan kerenah pelanggan. Lazimnya, kemahiran mereka sering dipandang enteng sehingga gaji mereka kekal rendah dan tidak berubah. Cerita-cerita ini bukan sekadar memberi iktibar, tetapi ia mencerminkan cabaran pekerja berpendapatan rendah untuk kos perbelanjaan keluarga.
Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) mendapati pendapatan purata bagi golongan B40 meningkat kepada RM 3,000 pada tahun 2016 jika dibandingkan dengan RM 2,692 pada tahun 2014.
Statistik ini menunjukkan pendapatan isi rumah B40 telah meningkat 12 peratus setahun dari tahun 2010 hingga 2016, yakni tiga kali ganda lebih tinggi daripada pendapatan purata isi rumah nasional sekitar 9 peratus. Tetapi, ia tidak bermaksud majoriti pendapatan isi rumah dan pekerja B40 sudah bergaji tinggi.
Peningkatan ini juga tidak signifikan. Terdapat 2.78 juta isi rumah golongan B40 di Malaysia, tetapi bahagian pendapatan mereka kecil, iaitu sekitar 16.4 peratus pada tahun 2016. Berbeza dengan 1.39 juta isi rumah golongan T20 yang memegang bahagian pendapatan sebanyak 46.2 peratus. Ia secara tidak langsung menunjukkan pendapatan B40 ini masih rendah dan tidak berubah.
Pekerja B40 terpaksa bersaing dengan pekerja asing. Persaingan ini menyebabkan gaji mereka kekal rendah dan perubahan dasar kerajaan dalam memperbaharui pendapatan tidak dapat dirasai mereka. Persatuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) menyatakan peningkatan gaji minima kepada RM 1,200 sebulan akan memberi 95% manfaat kepada pekerja asing di bandar.
Jadi bagaimana kita dapat memastikan dasar meningkatkan pendapatan ini benar-benar memberi manfaat kepada pekerja tempatan, khususnya B40?
Oleh sebab itu, pekerja daripada keluarga B40 sanggup berdepan risiko, bekerja lebih dari satu pekerjaan dengan tempoh yang panjang demi menambah pendapatan, seperti melibatkan diri dalam ekonomi gig dan menjadi penghantar makanan. Mereka berpeluang mendapat gaji sekurang-kurangnya RM 4,000 sebulan. Tetapi, pendapatan tersebut sahaja tidak cukup untuk memberi jaminan tanpa jaringan keselamatan sosial.
Begitu penting untuk memastikan pendapatan yang setimpal bagi pekerja isi rumah B40 selari dengan matlamat negara, melalui Wawasan Kemakmuran Bersama 2030. Oleh itu, apakah dasar yang boleh mencapai hasrat ini?
Struktur gaji pekerja berkemahiran rendah perlu mengalami perubahan supaya ia dapat ditambah baik. Majoriti pekerja kelas ini ialah mereka daripada isi rumah B40, tetapi pihak industri hari ini masih mengekalkan sikap menawarkan gaji rendah, sedangkan mereka ini juga mempunyai kemahiran dan pengalaman dalam industri.
Sebagai contoh, dasar kerajaan menyarankan pekerja dan pemuda B40 untuk menyertai TVET untuk meningkatkan kemahiran yang boleh menjamin kerja. Kini, terdapat 80 peratus pelajar daripada keluarga B40 menyertai TVET dan kebolehasaran mereka mencapai 95 peratus. Namun, tawaran gaji disediakan industri untuk kelulusan TVET masih rendah.
Gaji minimum yang diperolehi pekerja baru berkelulusan TVET dalam pasaran kini hampir RM 1,207 sebulan, lebih rendah berbanding pekerja berkelulusan ijazah pertama, sekitar RM 1,703. Jelas memperlihatkan industri masih tidak menghargai kemahiran pekerja TVET yang rata-ratanya datang daripada keluarga B40. Struktur gaji rendah tidak akan memberi manfaat kepada pekerja B40 meskipun mempunyai kemahiran yang diperlukan industri.
Kerajaan memainkan peranan untuk mengenal pasti industri atau sektor baharu yang dapat memberi peluang pekerjaan dan gaji setimpal kepada pekerja B40 dan berkemahiran rendah. Contohnya, ekonomi hijau yang bakal mencipta hampir 200,000 peluang pekerjaan pada 2030 di Malaysia akan membuka peluang kepada pekerja B40 untuk mendapat pekerjaan yang stabil dan meningkatkan pendapatan untuk masa hadapan.
Walaupun industri baharu ini meletakkan sasaran menambah penglibatan pekerja berkemahiran, tetapi penglibatan pekerja B40 akan membantu dalam meningkatkan produktiviti dan hasil ekonomi negara.
Pekerja B40 perlu mengambil peluang untuk menambah kemahiran dalam sektor pekerjaan. Mereka seharusnya sedar bahawa pelbagai dasar kerajaan yang diumumkan dalam Belanjawan 2020 telah membuka peluang untuk memberi latihan kemahiran bagi memastikan mereka boleh mencari pekerjaan dan gaji setimpal untuk masa hadapan.
Peruntukan RM50 juta kepada Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) dalam Belanjawan 2020 bertujuan memberi latihan kemahiran pekerja B40, khususnya golongan muda tetapi, sejauh manakah pekerja B40 akan menyertai program ini untuk memantapkan kemahiran mereka?
Sudah sampai masa kita mengiktiraf pengorbanan pekerja B40 dengan menambah gaji yang setimpal buat mereka. Industri dan kerajaan seharusnya sedar bahawa pelaburan kepada pekerja B40 yang dihimpit masalah gaji rendah sejak dua dekad yang lalu, akan memberi nilai tambah kepada kemakmuran ekonomi negara.
Tawaran gaji yang setimpal ini juga sebagai satu jaminan bahawa pekerja B40 mempunyai peluang untuk hidup selesa untuk masa hadapan dan mampu menyesuaikan diri dengan peralihan ekonomi dunia dan tempatan yang kian mencabar.

* Fakhrurrazi Rashid ialah Koordinator Program Research For Social Advancement (REFSA).
** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
#ekonomi #Indonesia #kerajaan #keselamatan #Malaysia #Media #pekerja asing #pelaburan #pelajar #pemuda #TVET #Vietnam
;