Naikkan lantai ekonomi dengan tingkatkan kuasa beli rakyat - Irwan Shah
Irfan Faruqi
Ogos 29, 2023 00:31 MYT
Ogos 29, 2023 00:31 MYT
KUALA LUMPUR: Lantai ekonomi negara perlu dinaikkan dengan meningkatkan kuasa beli yang seterusnya dapat membaiki kualiti hidup rakyat.
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), Prof. Madya Dr. Irwan Shah Zainal Abidin berpandangan, pendekatan kerajaan melalui kerangka Ekonomi Madani adalah tepat untuk menyelesaikan dilema mengenai isu kos sara hidup.
“Saya melihat apa yang dibentangkan dalam kerangka Ekonomi Madani itu, secara prinsipnya tepat. Sebab itu apabila digunakan analogi rumah yang perlu dinaikkan bukan sahaja siling, bahkan juga lantainya.
"Kalau kita nak naikkan siling, tetapi lantai yang merujuk kepada kuasa beli dan pendapatan rakyat masih rendah, maka pembangunan itu tidak boleh dikatakan sebagai manusiawi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Selasa.
Jelasnya, peningkatan pendapatan rakyat menjamin kualiti hidup lebih baik meskipun berdepan kenaikan harga, seperti yang berlaku di Singapura.
“Perkara itu penting kerana kalau kita lihat di negara-negara maju, harga barangan mahal tetapi mereka tidak mengadu kerana pendapatan dan kuasa beli mereka tinggi.
“Seperti di Singapura, apabila berlaku pandemik, kerajaan meningkatkan kadar Cukai Barangan dan Jualan (GST). Tidak pula menjadi isu di sana.
“Maksudnya, jika kita berjaya meningkatkan kedua-keduanya dari segi siling dan lantai, ia akan membolehkan rakyat bersedia,” katanya.
Pada 7 Ogos lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Dasar Gaji Progresif yang akan dilaksanakan bersifar sukarela, berteraskan insentif dan terkait dengan produktiviti.
Anwar menjelaskan, dasar ini merupakan pelengkap kepada Dasar Gaji Minimum serta disusuli dengan garis panduan gaji progresif tahunan bagi setiap sektor, pekerjaan dan peringkat.
Menurutnya, MTEN turut berpandangan Dasar Gaji Progresif merupakan salah satu reformasi pasaran pekerja untuk memastikan pekerja Malaysia tidak dibebankan dengan kos sara hidup dan dapat menikmati pekerjaan dengan gaji yang bermaruah demi kesejahteraan rakyat serta mencapai agenda mengangkat ekonomi negara.