Naikkan KDNK, turunkan kemiskinan, baru Sarawak makmur - Taib Mahmud

Bernama
Mei 12, 2021 20:24 MYT
Abdul Taib berkata, biarpun terpaksa menyambut Hari Raya Aidilfitri dalam keadaan realiti baru, rakyat perlu merasa syukur kerana masih dapat meraikan perayaan itu dalam suasana yang tenang. - Gambar fail
KUCHING: Usaha perlu diteruskan untuk meningkatkan lagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan pendapatan per kapita di Sarawak, di samping terus menurunkan lagi kadar kemiskinan, bagi membolehkan negeri ini menjadi paling makmur menjelang 2030.
Yang Di-pertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud berkata, KDNK Sarawak sekarang berada di tahap RM121,814 dengan pendapatan per kapitanya pada RM44,990 dan kadar kemiskinannya pula kurang dari tiga peratus.
"Pada suatu ketika, ekonomi Sarawak mempunyai pendapatan per kapita RM4,000 sahaja dan dewasa ini telah melonjak kepada lebih RM40,000, lebih 10 kali ganda pertambahannya," katanya dalam perutusan sempena Hari Raya Aidilfitri pada Rabu.
Beliau berkata, kerajaan negeri sedang melaksanakan program pembangunan jangka panjang dikenali sebagai Rancangan Transformasi Sosio-Ekonomi (SETP) Sarawak 2016-2030, bertujuan untuk mempercepatkan pertumbuhan pendapatan dalam kalangan rakyat, dan mengurangkan perbezaan pendapatan dalam kalangan mereka.
"Ia akan memberi penekanan kepada usaha, untuk mengujudkan peluang-peluang membina ekonomi berpendapatan tinggi dengan sumber-sumber yang sedia ada, dan menambah baik industri di negeri ini," katanya.
Abdul Taib berkata, biarpun terpaksa menyambut Hari Raya Aidilfitri dalam keadaan realiti baru berikutan penularan COVID-19, rakyat perlu merasa bersyukur kerana masih dapat meraikan perayaan itu, dalam suasana yang tenang, biarpun berbeza.
Katanya, memandangkan penularan COVID-19 masih lagi berlaku, rakyat Sarawak perlu terus mematuhi peraturan demi kesihatan masing-masing dan kesihatan umum di negeri ini, supaya kestabilan politik terus terpelihara sebagai asas memacu pembangunan sosial dan ekonominya.
"Kita mesti berusaha menumpukan perhatian dan menggembleng tenaga kita, dalam usaha pembangunan sosio-ekonomi demi untuk menaikkan pencapaian kita ke tahap yang lebih tinggi," katanya.
Beliau berkata, amalan politik di Sarawak perlu memiliki hala tujuan untuk melahirkan pembangunan yang adil dan saksama untuk rakyat, di samping perlu diasingkan daripada perkara yang remeh temeh untuk memenuhi agenda peribadi dan kepentingan kumpulan.
-- BERNAMA
#KDNK #Sarawak #Abdul Taib Mahmud #Hari Raya Aidilfitri #COVID-19 #amalan politik #realiti baru #Aidilfitri #Taib Mahmud #Kadar kemiskinan #negeri paling makmur #pendapatan #kesihatan #rakyat #hari raya #kerajaan #politik #ekonomi