Naikkan harga petrol RON95, T20 banyak guna subsidi kerajaan - Najib
Afiezy Azaman
Jun 22, 2022 10:10 MYT
Jun 22, 2022 10:10 MYT
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak menyarankan agar kerajaan mempertimbang untuk menaikkan harga minyak RON95 sebanyak RM0.10 atau RM0.20.
Ini kerana, bekas Perdana Menteri itu berkata, sudsidi minyak petrol secara pukal diberikan kerajaan telah membuatkan manfaat yang sepatutnya diberikan kepada golongan B40 dan M40 turut sama digunapakai oleh golongan T20.
Najib juga menyatakan beliau kurang bersetuju dengan pemberian subsidi secara pukal kerana sistem subsidi di negara ini lebih memanfaatkan orang kaya.
Katanya, penurunan 65 peratus jualan RON97 juga merupakan bukti bahawa sebahagian besar orang kaya dan orang yang berkemampuan telah bertukar minyak ke RON95 untuk menikmati subsidi kerajaan.
"Ibarat orang kaya ambil makanan dari food bank. Hari ini, kerajaan memberi subsidi sekitar RM2.50 bagi setiap satu liter RON95 yang dijual pada harga RM2.05. Sebab itu, harga minyak RON95 Malaysia adalah antara 10 paling murah di dunia, jauh lagi murah banding Arab Saudi dan UAE.
"Bermaksud jika seorang dari golongan T20 mengisi 50 liter minyak RON95 bagi kereta mewahnya, kerajaan sebenarnya memberi subsidi sebanyak RM125 setiap kali orang kaya isi minyak.
"Sekiranya orang kaya ini isi minyak tiga kali sebulan bermaksud kerajaan memberi bantuan RM4,500 setahun bagi orang kaya, lagi tinggi berbanding BR1M kepada B40 dan M40," katanya dalam satu kenyataan, di Facebook, pada Rabu.
Ahli Parlimen Pekan itu berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) pernah menyelesaikan masalah dan ketidakadilan dengan mengapungkan harga minyak.
"Penjimatan daripada ini pula disalurkan kepada pemberian BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) yang dinaikkan dan diperluaskan jumlah penerima dari RM500 ke RM1,200 dan akhirnya ke RM2,000 setahun pada masa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
"Bagaimanapun, kadar inflasi yang tinggi dialami seluruh dunia membuatkan penarikan subsidi minyak secara sepenuhnya tidak sesuai dilaksanakan.
"Jangan sentuh harga diesel ketika inflasi masih tinggi sekarang kerana ia berkait langsung dengan kos pengeluaran, kos pengangkutan dan akhirnya akan memberi lebih tekanan kepada kadar inflasi," jelasnya.
Beliau turut menyarankan kerajaan menaikkan duti eksport dan cukai durian runtuh bagi sektor minyak sawit pada ketika dunia masih kekurangan bekalan dan harganya tinggi.
Ini kerana, jelas beliau ia dibayar oleh pembeli asing dan juga syarikat-syarikat perladangan besar, bukan dibayar oleh peneroka.
"Penjimatan subsidi 10 sen atau 20 sen bersama hasil tambahan cukai sawit serta penjimatan dari tidak lagi memberi subsidi untuk ayam dan telur boleh disalurkan untuk diberi sebagai bantuan tunai kos sara hidup bagi golongan B40 dan T40 setiap tiga bulan selagi kadar inflasi masih tinggi.
"Golongan T20 tidak kisah dan tidak terkesan jika harga makanan tinggi namun ia merupakan tekanan yang besar bagi golongan b40 dan sebahagian besar golongan M40.
"Pemberian bantuan tunai kos sara hidup setiap tiga bulan akan melegakan tekanan kos makanan bagi golongan B40 dan M40," katanya.
Beliau mengulas mengenai kenaikan harga ayam dan telur bermula pada Julai ini susulan pemansuhan harga siling RM8.90 sekilogram serta kemungkinan kenaikan tarik elektrik.