Naik taraf usahawan runcit ke AgroBazaar tingkat hasil jualan 60 peratus

Nazialita Geynna Maharan
April 20, 2017 17:19 MYT
Saarani (dua kiri) dan Badruddin (dua kanan) meninjau jualan buah-buahan tempatan di GBBS Selabak, Teluk Intan, pada Khamis, 20 April, 2017. Astro AWANI
Hasil penaiktarafan usahawan runcit ke rangkaian Agrobazaar Rakyat 1Malaysia (ABR1M) bimbingan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) di seluruh negara mendapati kualiti jualan meningkat sehingga 60 peratus.
Pengerusi Fama Tan Sri Badruddin Amiruldin berkata selain pengetahuan kemahiran pengurusan dan susun atur peragaan produk jualan juga amat penting dalam pengurusan premis perniagaan.
"Perubahan imej premis daripada kedai runcit biasa kepada ABR1M juga perlulah disusuli dengan perubahan sikap dan minda yang merangkumi sikap dan sifat semua aspek perniagaan secara asas.
"Malah, kebersihan premis perlulah diutamakan, tanda harga perlu sentiasa dipamerkan jelas dan kepuasan pelanggan mesti diberi keutamaan, barulah pelanggan akan kembali ke kedai," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian dalam sidang media ketika ditemui di program lawatan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian, Penerangan dan Pembangunan Modal Insan, Datuk Saarani Mohamad ke majlis perasmian ABR1M Mat Frozen Holding milik Ahmad Shah Daud di Jalan Padang Tembak di sini pada petang Khamis.
Lawatan itu diadakan bersempena dengan Program Pemukiman Menteri Besar: Hilir Perak selama lima hari sehingga Sabtu ini.
Di samping itu, Badruddin turut mengingatkan para usahawan peruncitan mengambil pendekatan untuk mewujudkan keceriaan premis jualan selain perlu melaksanakan program-program tarikan pengunjung dari masa ke masa.
Dalam pada itu, beliau berkata nilai jualan ABR1M Fama membabitkan 60 cawangan di seluruh negara mencecah RM24.6 juta bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini.
Sehingga Mac ini, terdapat 136 buah ABR1M di seluruh negara termasuk 60 buah dibawah pelaksanaan Fama yang merupakan salah satu agensi dibawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA).
Katanya pada tahun lepas pihaknya telah menubuhkan 45 ABR1M Fama yang menawarkan pelbagai produk terutama berasaskan industri asas tani pada harga berpatutan dengan nilai jualan RM53 juta.
ABR1M adalah rangkaian kedai runcit sedia ada milik usahawan yang dinaik taraf bagi menawarkan produk makanan dan pertanian segar tempatan yang dijual secara terus dari sumber pengeluar kepada pengguna disamping menjual barangan runcit.
#ABR1M #Agrobazaar Rakyat 1Malaysia #Badruddin Amiruldin #FAMA #Saarani Mohamad #Tan Sri Badruddin Amiruldin #usahawan
;