Naik taraf tapak simulasi SMART siap Oktober
Bernama
Julai 19, 2023 10:00 MYT
Julai 19, 2023 10:00 MYT
PUTRAJAYA: Tapak simulasi bagi Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) di Pulau Meranti dekat sini yang sedang menjalani proses naik taraf, bakal dilengkapi dengan beberapa lagi modul latihan mencari dan menyelamat, kata Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) Datuk Khairul Shahril Idrus.
Beliau berkata apabila siap sepenuhnya Oktober ini, tapak simulasi itu akan dilengkapi dengan pelbagai modul, termasuk menampilkan modul menyelamat yang melibatkan operasi keretapi bawah tanah, kereta kabel, bangunan runtuhan penuh, bangunan separa runtuh, bangunan condong, bangunan runtuhan pelbagai dan menara abseiling.
Katanya naik taraf tapak berkenaan, yang melibatkan modul berdasarkan piawaian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan kos kira-kira RM60 juta di bawah Rancangan Malaysia ke-12, dan kini ia sudah siap 70 peratus.
Ketika ini tapak berkenaan hanya menampilkan simulasi asas seperti kaedah memecah atau memotong blok bangunan yang runtuh.
"Tapak ini bukan sahaja dapat memantapkan kepakaran anggota SMART dalam pelbagai situasi bencana dan kecemasan, malah ia dapat mengekalkan status pasukan ini sebagai sebuah pasukan penyelamat bertaraf antarabangsa," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata pelaksanaan naik taraf tapak simulasi itu akan membolehkan pasukan SMART mengekalkan pengiktirafan International Search and Rescue Advisory Group (INSARAG) iaitu satu badan di bawah PBB yang mengkoordinasikan rangkaian penyelamat antarabangsa berkenaan operasi bencana rentas sempadan.
Khairul berkata pusat simulasi itu akan memberikan latihan yang lebih komprehensif dan menggambarkan situasi bencana sebenar, sekali gus membolehkan pasukan SMART dilengkapi dengan kepakaran lebih mantap.
Beliau berkata antara yang sedang dirancang untuk tapak berkenaan di masa hadapan adalah penambahan modul latihan dari segi operasi menyelamat di pelbagai kawasan bencana.
Dengan penambahbaikan berkenaan, katanya tapak simulasi itu juga boleh muncul sebagai pusat latihan mencari dan menyelamat terhebat di rantau Asean, malah di peringkat antarabangsa.
Menurutnya beberapa negara termasuk Indonesia, Brunei dan Turkiye juga berminat dengan kepakaran SMART dan memohon untuk mengadakan latihan amal bersama.
Sementata itu Khairul Shahril berkata Nadma bercadang menilai semula keperluan dari segi kekuatan pasukan SMART sama ada ia sesuai dengan perkembangan dan situasi bencana sekarang, selain berhasrat memastikan pasukan itu dilengkapi dengan peralatan dengan teknologi terkini bagi operasi mencari dan menyelamat.
SMART yang ditubuhkan pada 1994 dianggotai pegawai dan anggota tiga badan beruniform utama iaitu Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Khairul berkata SMART kini mempunyai kekuatan kira-kira 150 anggota, dan penilaian teliti dilakukan untuk melihat jumlah yang optimum bagi memastikan pasukan SMART sentiasa bersedia untuk pengurusan bencana di dalam dan luar negara.
"Kita sentiasa melihat kekuatan pasukan SMART berdasarkan kepada keperluan semasa," katanya.
-- BERNAMA