Naik taraf Kem Batalion 3 PGA Bidor bernilai RM322 juta - IGP

Abd Razak Mohd Ali
Jun 14, 2023 13:10 MYT
Acryl Sani berkata, proses naik taraf itu melibatkan dua fasa di mana fasa pertama bermula Februari 2008 dan siap pada Ogos 2011 dengan belanja RM69 juta. - Gambar fail
TAPAH: Proses naik taraf Kem Batalion 3, Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor yang bermula 2008, melibatkan kos keseluruhan RM322 juta.
Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, proses naik taraf itu melibatkan dua fasa di mana fasa pertama bermula Februari 2008 dan siap pada Ogos 2011 dengan belanja RM69 juta.
“Antara infrastruktur yang dibina bagi fasa pertama adalah Dewan Rekreasi, Lapang Sasar, Sub-Station TNB, loji rawatan kumbahan, 32 unit banglo kelas C, D dan E serta 173 unit rumah teres kelas F,” katanya ketika menyampaikan sembah ucapan sempena perasmian Kem Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor, dekat sini, hari ini.
Perasmian disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Menurutnya, fasa kedua menaik taraf kem mula dilaksanakan 15 September 2008, dengan belanja RM253 juta.
Katanya, fasa kedua selesai sepenuhnya pada 16 Mei 2012 dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan antaranya, Balai Tabik, Drillshed, Padang Kawad, Kafeteria, Bengkel Komunikasi, Bangunan Pentadbiran, Pejabat Cawangan Bekalan, Pejabat Kompeni.
Pejabat Cawangan Pengangkutan, Pejabat Cawangan Persenjataan, Rumah PERKEP, Bangunan Kedai, Klinik, Dewan Makan, Litar Rentas Halangan, Tabika, 429 unit kuarters kelas F, Bengkel Penyelenggaraan dan pembaikan serta Padang Permainan.
“Sesungguhnya, pembinaan kemudahan-kemudahan di kem ini adalah bukti komitmen tinggi kerajaan dalam menyokong usaha Polis Diraja Malaysia untuk memperkasakan lagi pelan keselamatan pasukan bagi melindungi rakyat serta menjaga keamanan tanah air tercinta ini,” ujarnya.
Acryl Sani berkata, selain menjadi mercu kebanggaan buat warga PDRM amnya dan Batalion 3 khasnya, prasarana serta kelengkapan yang terdapat di kem itu mewujudkan persekitaran kerja yang lebih kondusif, sekali gus meningkatkan moral warganya untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat.
Sehubungan itu, beliau berharap seluruh warga Batalion 3 akan terus menabur khidmat dengan profesional dan ikhlas demi negara dan dan bangsa.
#Kem PGA Bidor #naik taraf #Acryl Sani #RM300 juta
;