Naik taraf infrastruktur, bantu sektor pelancongan

Eleanor Michelle Patrick
Februari 2, 2021 06:54 MYT
Pemulihan sektor pelancongan juga bergantung kepada kejayaan membendung pandemik, dengan prospeknya yang semakin baik susulan ketersediaan vaksin. - Foto fail
KOTA KINABALU: Pemulihan sektor pelancongan Sabah dijangka akan mengambil masa lebih panjang berbanding negeri lain, dengan kebergantungan hampir sepenuhnya kepada perhubungan udara menjadi kekangan utama.
Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin bagaimanapun tetap optimis dan yakin semua strategi yang telah digariskan sebelum ini mampu memulihkan kembali industri pelancongan secara efektif berteraskan kelaziman baharu.
“Kita telah merancang dan melaksanakan pelbagai pelan serta strategi bersesuaian untuk mendepani cabaran semasa ini," ujar beliau dalam satu kenyataan media.
Jelas Jafry, pemulihan sektor pelancongan juga bergantung kepada kejayaan membendung pandemik, dengan prospeknya yang semakin baik susulan ketersediaan vaksin.
"Pelaksanaan vaksinasi secara berkesan akan menjadi faktor utama ke arah pembukaan sempadan dan normalisasi aktiviti perjalanan dan pelancongan domestik dan antarabangsa.
"Lembaga Pelancongan Sabah (STB) juga telah mengadakan beberapa perbincangan berhubung keperluan untuk menambah penerbangan terutama di daerah yang mempunyai tempat pelancongan yang berpotensi untuk menarik pelancong dalam mahupun luar negara," tambah beliau.
Di samping itu, STB kini juga sedang menggariskan beberapa strategi dalam mempelbagaikan jenis pelancongan agar tidak hanya tertumpu kepada pelancong massa sahaja.
"Antaranya adalah meluaskan pelancongan alternatif yang melibatkan sekumpulan kecil orang atau individu yang melancong ke tempat-tempat yang bukan destinasi pelancongan popular.
"Dalam hal ini, fokus kementerian adalah untuk menaik taraf fasiliti pelancongan ke arah mengutamakan kualiti berbanding kuantiti, atau dalam istilah yang lebih mudah adalah kepada high yield tourist," kata beliau.
Selain itu, katanya kerajaan negeri juga komited dalam membantu pemain industri pelancongan tempatan yang terkesan akibat penularan wabak COVID-19.
Bantuan fasa kedua berjumlah RM300 kepada porter, pemandu pelancong, malim gunung, ketua selam dan penggiat seni akan dilaksanakan dalam masa terdekat ini, katanya.
Tambah Jafry, dalam masa sama, kementerian juga sedang meneliti beberapa bentuk bantuan kepada pengusaha hotel dan penginapan di Sabah, berikutan penutupan beberapa buah hotel dan kakitangannya terpaksa diberhentikan kerja sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
#Sabah #pelancongan #pemulihan #tempoh lebih lama #penerbangan #kekangan #insentif #menteri #Jafry Ariffin #COVID-19 #PKP
;