Naik taraf gelandangan melalui program pertanian bandar - Annuar Musa
Bernama
Februari 1, 2021 18:24 MYT
Februari 1, 2021 18:24 MYT
PETALING JAYA: Kementerian Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan membangunkan ladang berkonsepkan urban farming (pertanian bandar) bagi meningkatkan taraf hidup gelandangan di bandar.
Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata pendekatan itu diambil bagi menawarkan pekerjaan kepada golongan gelandangan di ibu kota dalam menjana pendapatan sendiri.
Projek itu akan dijalankan berdekatan dengan penempatan khusus gelandangan yang sedang dibina di Kuala Lumpur.
"Kali ini, kita ambil pendekatan berbeza. Dahulu, kita salurkan mereka untuk bekerja di kilang, tetapi ada juga yang tidak mahu bekerja.
"Oleh itu, kita buat konsep baharu, kita akan membuka satu ladang menerusi program pertanian bandar di sebelah penempatan mereka yang sedang dibina. Jadi, mereka boleh mengusahakan ladang itu dan hasilnya akan dijual," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengumumkan senarai 335 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2021 di sini, hari ini.Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan Datuk Seri Rosida Jaafar dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Mahadi Che Ngah.
Annuar berkata idea dan konsep pertanian bandar pernah tercetus sebelum ini malah, beliau berhasrat untuk menjalin kerjasama dengan kerajaan negeri dalam pemberian tanah untuk pembukaan ladang.
"Kita selamatkan gelandangan ini dan hantar mereka ke negeri terbabit dan jadikan mereka seperti peneroka Felda (Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan). Tapi, rupa-rupanya ada golongan ini yang tidak mahu dan berkeras untuk terus menetap di Kuala Lumpur," katanya.
Sementara itu, Mahadi berkata DBKL dalam proses menaik taraf sebuah dewan komuniti di Taman Desa di Kuala Lumpur untuk dijadikan kawasan penempatan kekal buat gelandangan di ibu negara.
Menurut beliau, penempatan itu boleh memuatkan lebih 300 gelandangan dengan kemasukan awal dijangka pada Mac nanti.
"Tempatnya sudah ada cuma kita mahu susun semula dengan menyediakan ruang khusus agar mereka selesa apabila menduduki penempatan itu.
"Buat masa ini, semua gelandangan yang diselamatkan ditempatkan sementara di Dewan Komuniti Setiawangsa dan Dewan Komuniti Sentul hingga akhir Februari ini," katanya kepada Bernama.
Gelandangan ini kemudiannya akan diberi peluang pekerjaan menerusi program pertanian bandar yang akan dilaksanakan di sebelah penempatan mereka.
"Jadi, selepas mereka mendapat ilmu dan pengetahuan bercucuk tanam, mereka boleh melaksanakannya secara praktikal di ruang yang tidak berapa jauh dari penempatan mereka.
"Hasil pemerhatian yang kita buat, program pertanian bandar ini tidak memerlukan modal yang besar malah ia juga mampu menjana pendapatan lumayan," katanya.
-- BERNAMA