Naib Presiden Warisan, Peter Anthony mengaku tidak bersalah kes pengubahan wang haram RM8.75 juta

Ruzaini Zulkepli
Jun 11, 2020 12:21 MYT
Beliau yang hadir ke Mahkamah Kota Kinabalu pada jam 8.15 pagi tadi keluar dari kamar mahkamah kira-kira jam 11. 10 pagi. - Foto Astro AWANI
Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Peter Anthony mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan terhadapnya berhubung kes pengubahan wang haram dan menerima hasil aktiviti haram bernilai keseluruhan RM8.75 juta.
Hakim Mahkamah Sesyen, Abu Bakar Manat menetapkan 8 Ogos hadapan jam 10 pagi sebagai tarikh pengurusan kes dan mengarahkan Peter membayar ikat jamin sebanyak RM500,000 dengan dua penjamin tempatan.
Peter yang juga Menteri Pembangunan dan Infrastruktur Sabah itu, dituduh dalam lima pertuduhan melibatkan dua Seksyen iaitu Seksyen 4(1)(a) dan Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Akta 613).
Beliau yang hadir ke Mahkamah Kota Kinabalu pada jam 8.15 pagi tadi keluar dari kamar mahkamah kira-kira jam 11.10 pagi.
Terdahulu, mengikut prosiding mahkamah hari ini, Peter didakwa melakukan aktiviti tersebut diantara tahun 2014 dan 2016.
Antara pertuduhan, tertuduh didakwa pernah terlibat aktiviti transaksi berjumlah RM1.75 juta di Kampung Air, Kota Kinabalu, pada 25 Julai tahun 2014 dan pengubahan wang haram berjumlah RM2 juta pada 4 Ogos 2014 di lokasi sama.
Bagi pertuduhan ketiga, keempat dan kelima turut berlaku di lokasi sama dengan dakwaan melakukan pengubahan dan penerimaan wang haram di antara 5 September tahun 2014, 7 Disember 2015 dan 18 Januari 2016.
Jumlah keseluruhan wang yang dimaksudkan adalah bernilai RM8.75 juta.
Peter diwakili Peguam Bela, Datuk Douglas Lind, Martin Tommy, Cedric Choo dan Loke Ressa Balang.
Manakala pihak pendakwaraya pula diwakili oleh Ahmad Akram Garib dan Nartiah Sambatan manakala Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diwakili Timbalan Pendakwarayanya, Mohd Faliq Basirudin.
Terdahulu, dalam prosiding mahkamah hari ini, pihak pendakwaan memohon hakim supaya menetapkan ikat jamin sebanyak RM1 juta terhadap tertuduh memandangkan kes ini berat dan melibatkan kepentingan awam.
Bagaimanapun Abu Bakar dalam keputusannya mengarahkan Peter supaya membayar ikat jamin sebanyak RM500,000 berserta dua penjamin tempatan, pasport ditahan di mahkamah dan diminta untuk melaporkan diri ke Pejabat SPRM Kota Kinabalu dua bulan sekali sebagai syarat tambahan.
#haram #keganasan #Kota Kinabalu #mahkamah #Mahkamah Sesyen #Malaysia #menteri #presiden #SPRM
;