Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli ditahan polis di bawah Akta Rahsia Rasmi
Madiha Abdullah
April 5, 2016 19:02 MYT
April 5, 2016 19:02 MYT
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli, dilaporkan ditahan polis sebentar tadi sejurus keluar dari menghadiri sidang Parlimen.
Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, mengesahkan perkara itu melalui status yang dimuat naik ke akaun Facebook rasmi PKR beberapa minit yang lalu.
Sementara itu Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, turut membuat pengesahan mengenai penahanan itu melalui akaun Twitternya.
Dalam status yang dimuat naik, kata Khalid, Rafizi ditahan di luar bangunan Parlimen dan akan disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi (OSA).
Menjawab tweet pertanyaan Ahli Parlimen Subang, R.Sivarasa, yang mengklasifikasikan penahanan itu sebagai 'penculikan', Khalid mengingatkan agar terma tersebut tidak digunakan sewenang-wenangnya.
Semalam Bernama melaporkan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) telah memulakan tindakan undang-undang terhadap Rafizi Ramli berhubung dakwaan yang dibuat Rafizi terhadap LTAT.
Pengerusinya Laksamana (B) Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor berkata: "Jelas sama sekali bahawa tuntutan yang dibuat oleh Rafizi adalah fitnah semata-mata dan berniat jahat, serta bertujuan memusnahkan reputasi baik dan kredibiliti LTAT.