Naib Presiden AS Kamala Harris mulakan lawatan seminggu ke Afrika

Bernama
Mac 26, 2023 14:01 MYT
Harris antara lain akan mengumumkan komitmen AS untuk melabur dalam inovasi dan kreativiti di seluruh benua itu. - Gambar/ AP
KAMPALA (Uganda): Naib Presiden Amerika Syarikat (AS) Kamala Harris memulakan lawatan seminggu ke Afrika bermula hujung minggu ini yang pastinya akan menarik perhatian umum memandangkan beliau naib presiden wanita kulit hitam pertama AS melawat benua itu.
Lapan tahun lepas, Barack Obama, presiden kulit hitam AS pertama melawat wilayah itu, lapor Agensi Anadolu.
Menurut pegawai pentadbiran AS, lawatan itu merupakan ekspedisi berorientasikan masa depan untuk memperdalam hubungan dan menjadikan Afrika sebagai lokasi pelaburan.
Harris akan mengumumkan komitmen AS untuk melabur dalam inovasi dan kreativiti di seluruh benua itu serta mengumumkan Presiden Joe Biden akan menandatangani perintah eksekutif untuk menubuhkan Majlis Penasihat Presiden mengenai Penglibatan Diaspora Afrika yang bertujuan menyediakan nasihat dan cadangan mengenai kaedah mengukuhkan hubungan antara Afrika dan AS.
"Saya akan ke Afrika khususnya untuk bercakap dengan pemimpin Afrika mengenai kesediaan AS untuk memainkan peranan kami untuk melabur di benua itu," kata Harris dalam satu wawancara dengan stesen radio pada Jumaat.
Harris akan melawat Ghana, Tanzania dan Zambia dan mengadakan pertemuan dengan pemimpin tertinggi yang antara lain akan membincangkan mengenai pembangunan ekonomi, perubahan iklim dan keselamatan makanan.
Beliau dijadual tiba di Accra, ibu negeri Ghana pada Ahad.
-- BERNAMA
#Naib Presiden AS #Kamala Harris #lawatan ke Afrika #Barack Obama
;