Naib Presiden AS bimbang Akta Hasutan kekal

Astro Awani
Disember 5, 2014 06:12 MYT
Naib Presiden Amerika Syarikat, Joseph Biden mengkritik langkah kerajaan Malaysia mengekalkan Akta Hasutan 1948 yang dikatakannya bertujuan untuk menyekat pembangkang. - AFP Photo
Naib Presiden Amerika Syarikat, Joseph Biden mengkritik langkah kerajaan Malaysia mengekalkan Akta Hasutan 1948 yang dikatakannya bertujuan untuk menyekat pembangkang.
Beliau bagaimanapun menyifatkan keputusan rayuan pertuduhan liwat ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim nanti adalah peluang utama untuk Malaysia "membetulkan keadaan serta menonjolkan keyakinan terhadap demokrasi dan kehakiman".
Beliau membuat kenyataan itu melalui dua masukan di akaun Twitternya.

Amid growing U.S.-Malaysia ties, Malaysian govt’s use of legal system & Sedition Act to stifle opposition raises rule of law concerns. -vp

— Vice President Biden (@VP) December 4, 2014
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.

Anwar Ibrahim’s appeal gives Malaysia a vital chance to make things right and promote confidence in its democracy & judiciary. -vp

— Vice President Biden (@VP) December 4, 2014
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Dua masukan itu diakhiri dengan "vp" menandakan ia ditulis sendiri oleh Biden dan bukan oleh pegawainya.
Kenyataan Biden ini mengimbau semula episod kritikan bekas Naib Presiden, Al Gore terhadap kerajaan Malaysia pada 1998 serta kenyataan beliau yang menyifatkan rakyat yang menentang pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika itu sebagai "orang berani".
Dalam ucapannya pada forum Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Kuala Lumpur -- dua bulan selepas Anwar dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana, Al Gore menyebut bagaimana negara yang demokrasi lebih mampu mengharungi krisis ekonomi berbanding negara yang kebebasannya disekat.
Beliau kemudian memuji gerakan rakyat di serata Asia Tenggara dengan slogan perubahan termasuk "reformasi" yang ketika itu menjadi laungan Anwar dan penyokongnya.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak minggu lalu mengumumkan kerajaan tidak akan memansuhkan Akta Hasutan sebaliknya akan diperkukuhkan dengan dua peruntukan khas mengenai perlindungan kepada agama serta kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Malaysia.
Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria memberitahu Bernama pada Khamis bahawa pihaknya belum dapat memberikan tarikh tepat bila keputusan rayuan akhir Anwar itu akan diumumkan kerana panel hakim Mahkamah Persekutuan sedang menyiapkan penghakimannya.
Anwar merayu untuk mengetepikan hukuman penjara lima tahun atas sabitan meliwat bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan. Anwar merayu kepada Mahkamah Persekutuan selepas Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskannya.
#akta hasutan #Amerika Syarikat #joseph biden #Malaysia