Naib Ketua Armada Kota Tinggi dikhuatiri lemas

Ernalisa Othman
Disember 11, 2020 13:10 MYT
Mohd Zulfikrie dikatakan tergelincir dari perancah sebelum hilang selepas terjatuh. - Foto ihsan orang awam
KOTA TINGGI: Naib Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kota Tinggi, dikhuatiri lemas selepas dipercayai tergelincir semasa membuat kerja-kerja membaiki kerosakan di Jeti Tanjung Balau, Bandar Penawar dekat sini pada Khamis.
Dalam kejadian pada jam 5.05 petang, Mohd Zulfikrie Buang, 24 tahun dikatakan tergelincir dari perancah sebelum hilang selepas terjatuh.
Komander Operasi Balai Bomba Penyelamat (BBP) Bandar Penawar, Penolong Penguasa Bomba Mohd Fadli Ismail, berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) mengalami kesukaran ekoran hujan lebat selain keadaan laut berombak beserta angin kuat.
Sejurus menerima panggilan, seramai sembilan anggota dari BBP Penawar dengan sebuah jentera Fire Rescue Team (FRT), satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) serta sebuah utiliti Hilux dikejarkan ke tempat kejadian.
"Pihak bomba bertindak membuat pencarian di pinggir pantai di tiga kawasan iaitu Jeti Nelayan Tanjung Balai, Jeti Chalet Tanjung Balau dan Pantai Tanjung Balai.
"SAR turut dibantu agensi lain seperti polis serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). Pegawai Kementerian Kesihatan Malaydia (KKM) turut hadir," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, operasi SAR masih lagi dilakukan sehingga kini melibatkan agensi-agensi yang berkenaan.
Sehingga pukul 12 tengah hari tadi, operasi mencari dan mencari mangsa masih belum menemukan mangsa.
#Naib Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda #Kota Tinggi #ARMADA #dikhuatiri lemas #Mohd Zulfikrie Buang #lemas #mangsa
;