Naib Canselor Universiti Perdana dilantik pengerusi baharu SKMM - Saifuddin Abdullah

Fareez Azman
Jun 9, 2020 17:39 MYT
Saifuddin mengumumkan perlantikan Pengerusi SKMM yang baharu berkuat kuasa 10 Jun ini. Gambar fail
Naib Canselor dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Universiti Perdana, Dr Fadlullah Suhaimi Abdul Malek, dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tempoh dua tahun berkuat kuasa 10 Jun ini.
Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah, Dr Fadlullah mengantikan Al-Ishsal Ishak yang telah berkhidmat sejak Oktober 2018.
Jelasnya, pelantikan itu dibuat berdasarkan pengalaman luas Dr Fadhlullahdalam sektor telekomunikasi sekali gus dapat membantu penambahbaikan dasar-dasar SKMM.
"Dr Fadhlullah Suhaimi juga bekas anggota suruhanjaya di SKMM dan mempunyai pengalaman sebanyak 20 tahun dalam sektor telekomunikasi," katanya dalam kenyataan media pada Selasa.
Dalam pada itu, Saifuddin turut mengumumkan Pengerusi Lembaga UEM Sunrise Berhad, Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa akan dilantik sebagai penasihat telekomunikasi bagi kementerian itu.
Jelasnya, pelantikan dibuat berdasarkan pengalaman Zamzamzairani selama lebih 30 tahun terutama sebagai CEO dan Pengarah Urusan Telekom Malaysia sebelum ini.
Kata Saiffudin, penambahbaikan dasar-dasar SKMM akan diperkenalkan untuk penyesuaian terhadap normal baharu akibat wabak COVID-19 selain merancang dan melaksanakan program jangka panjang.
Penambahbaikan itu ujarnya akan melibatkan tiga aspek utama, iaitu infrastruktur, persediaan untuk Teknologi Mudah Alih Generasi Kelima (5G) serta urus tadbir dan institusi.
Malah katanya, usaha meningkatkan liputan jalur lebar di kawasan bandar serta luar bandar juga akan dipercepatkan.
"Dalam usaha persediaan 5G, strategi pengagihan spektrum akan diperbaiki untuk memastikan penggunaanya yang optimum. Struktur industri juga akan disemak semula untuk memastikan kemampanan industri dan keseimbangannya dengan kepentingan pengguna dalam jangka masa panjang.
"Bagi meningkatkan prestasi urus tadbir dan ketelusan institusi, kuasa menteri juga akan disemak semula supaya wujud sistem semak dan imbang.
"Selain itu, SKMM juga akan menyemak semula skop tugas dan tanggungjawabnya supaya memberi fokus kepada peranan utamanya termasuk memperbaiki struktur organisasi dan menambah baik bidang-bidang tertentu seperti perundangan, audit dan sumber manusia," katanya.
#COVID-19 #Kementerian Komunikasi dan Multimedia #koronavirus #MCMC #menteri #Perlantikan #Saifuddin Abdullah #SKMM #telekomunikasi #Universiti Perdana
;