Nahas TUDM: Hishammuddin galak anak lelaki juruterbang ikut jejak bapa

Bernama
Disember 23, 2016 07:29 MYT
Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengucup dahi anak mendiang Mejar C. Kayamboo, K. Indiran yang ingin menjadi seorang juruterbang seperti bapanya semasa menziarahi keluarga itu di kediaman mereka di Sungai Nibong. - Foto Bernama
Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menggalakkan anak lelaki sulung mendiang Mejar C. Kayamboo supaya meneruskan impiannya menjadi seorang juruterbang seperti bapanya, selain menjaga keluarganya.
Hishammuddin turut berjanji untuk memastikan kebajikan keluarga mendiang sentiasa dijaga dan pendidikan anak-anaknya tidak terabai.
"Kami akan sentiasa bersama anda. Jangan bimbang. Beritahu sahajalah apa yang diperlukan dan kami akan uruskan segala-galanya untuk anda.
"Saya akan menyokong anda dan begitu juga dengan TUDM. Bapa anda adalah seorang lelaki yang hebat...semoga semangatnya sentiasa bersama anda," katanya semasa melawat keluarga mendiang Kayamboo di rumah mereka di Sungai Nibong di sini, pada Jumaat.
K. Indran, 12, berkata mendiang bapanya telah mendidiknya perkara asas mengenai bahagian dan model pesawat.
"Apa yang telah berlaku tidak akan menghalang saya (mencapai impian)," katanya yang bercita-cita menjadi juruterbang seperti bapanya.
Hishammuddin pula sebak ketika beliau meminta anggota keluarga Kayamboo supaya kekal bersama dan tabah menghadapi apa yang berlaku.
Beliau turut berkongsi pengalaman pahitnya kehilangan keluarga terdekat dalam tragedi MH17 di mana neneknya adalah seorang daripada penumpang pesawat malang itu.
"Saya juga kehilangan anggota keluarga terdekat dan saya faham bagaimana peritnya perasaan itu. Ia mengambil masa untuk menangani perasaan itu. Anda semua haruslah tabah," katanya sambil mengesat air mata dan memegang tangan ibu Kayamboo, S.Indera Devi, 65.
Hishammuddin juga berjanji dengan Indera Devi bahawa beliau akan menerima rawatan perubatan penuh terutamanya gigi palsu baharunya.
"Jangan bimbang. Anak puan tidak dapat melakukannya untuk puan tapi kami akan melakukan bagi pihak dirinya. Kami terhutang budi dengan pengorbanan beliau kepada negara," katanya.
Kementerian Pertahanan menyumbang RM522,000 kepada keluarga malang itu dan Hishammuddin sendiri turut memberikan sumbangan peribadi beliau.
Isteri Kayamboo, K. Usha, 42, berkata beliau berterima kasih di atas sumbangan yang diberikan kerana mereka kini kehilangan tempat bergantung.
Dalam kejadian pada 5.18 petang Rabu, pesawat Beechcraft B200T yang dipandu Kayamboo telah terhempas di Pangkalan Tentera Udara Butterworth, menyebabkan tiga yang lain cedera.
Dua yang cedera dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut manakala seorang lagi dipindahkan ke Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Kuala Lumpur.
Semalam, Kayamboo, 45, disemadikan dengan penuh upacara penghormatan ketenteraan. Mendiang meninggalkan isteri S. Usha dan empat anak iaitu Indran, 12, K.Vashini, 11, K.Sanvendran,7, dan K.Maitrashini, 2. -- Bernama
#Beechcraft King Air 200T #Hishammuddin Hussein #Kayamboo #Pengkalan Udara Butterworth #Pesawat TUDM terhempas #TUDM
;