Nahas: Trak polis terbakar, penunggang motosikal maut
Muhafandi Muhamad
Mac 23, 2021 14:23 MYT
Mac 23, 2021 14:23 MYT
KOTA BHARU: Seorang penunggang motosikal maut apabila motosikalnya terbabit kemalangan dengan sebuah trak polis yang sedang membawa sekumpulan Orang Kena Tuduh (OKT) ke Penjara Kuala Krai pagi ini.
Kesemua OKT yang berada dalam lori polis terbabit bagaimanapun terselamat dan berjaya dipindahkan ke sebuah lori polis lain tanpa kecederaan atau terlepas lari.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat ketika dihubungi berkata, 29 OKT yang dalam perjalanan ke pusat transit penerimaan Kuala Krai berjaya dipindahkan ke sebuah lagi lori polis di belakang oleh lebih 10 anggota pengiring.
Kemalangan yang berlaku sekitar jam 9.30 pagi di Jalan Demit, Panji di sini itu menyebabkan Muhammad Khalis Mifzal Mohd Kamal, 20, meninggal dunia di tempat kejadian.
Sebelum itu lori polis yang membawa OKT terbabit dalam perjalanan dari arah Panji menuju ke Jalan Kubang Kerian.
Manakala penunggang motosikal dari arah bertentangan.
Setibanya di tempat kejadian, penunggang motosikal berkenaan telah melanggar belakang sebuah kereta menyebabkan mangsa jatuh di arah laluan lori berkenaan.
Shafien berkata, anggota yang memandu lori polis berkenaaan tidak sempat mengelak dan merempuh mangsa menyebabkan motosikal mangsa terseret di bawah lori hingga berlaku percikan api dan terbakar.
Pada masa kejadian lori yang membawa OKT itu dinaiki oleh empat anggota pengiring, manakala sebuah lagi lori polis yang berada di belakang membawa 31 orang OKT yang lain.
Seramai lebih 10 anggota bertugas mengiringi lori polis itu termasuk dua buah kenderaan pelbagai guna (MPV).
#Kuala Krai
#penunggang motosikal maut
#kemalangan
#maut
#trak polis terbakar
#nahas Kota Bharu
#banduan