Nahas Segamat: Tunggu cucu balik, yang sampai jenazah mereka

Raffi Bachik
Disember 13, 2017 14:35 MYT
Bapa Allahyarham Muhamad Abu Dujanah, Dzulkarnain Yusoh, 55, yang menerima kehilangan anaknya dan keluarga dengan penuh keredhaan. . - FotoAstroAWANI
Tidak sangka penantian untuk melihat cucu bongsu dibalas dengan kepulangan lima jenazah.
Itu ungkapan bapa Allahyarham Muhamad Abu Dujanah, Dzulkarnain Yusoh, 55, yang menerima kehilangan anaknya dan keluarga dengan penuh keredhaan.
Ketika menceritakan pertemuan terakhir dengan anak keduanya itu, Dzulkarnain menyifatkan tiada sebarang perubahan ditunjukkan, malah sempat mengikut Muhamad dan keluarga berjalan-jalan ke Kuala Lumpur sebelum ke Muadzam.
“Dia dengan saya pergi ke Kuala Lumpur dan tak nampak perubahan, Cuma besan saya cakap isteri anak saya dah nampak perbezaan.
“Tak banyak cakap seperti selalu. Tapi saya jalan dengan dia nampak macam biasa,” katanya ketika ditemui di Hospital Segamat di sini, hari ini.
BACA: Kemalangan maut lima sekeluarga: Kereta hilang kawalan bertembung bas ekspres - polis
BACA: Jenazah lima mangsa kemalangan dituntut keluarga selesai bedah siasat
Sementara itu, menurut abang sulung Allahyarham Muhamad Abu Dujanah, Nizamudin Dzulkarnain, 31, beliau hanya mengetahui berita kemalangan tersebut menerusi beberapa keping gambar yang tular di media sosial.
Katanya, ketika kejadian, adiknya sekeluarga dalam perjalanan pulang ke Kluang, Johor selepas menjemput isterinya yang baharu habis tempoh berpantang di rumah keluarga mertuanya di Muadzam, Pahang.
Tambahnya lagi, mereka sekeluarga di Kluang menanti dengan penuh keterujaan lebih-lebih lagi untuk bertemu buat kali pertama dengan anak bongsu mangsa yang turut maut dalam nahas itu.
“Masih terngiang-ngiang lagi Ajwad nak beli mainan…nak beli mainan. Allahuakbar tak boleh nak cakap apa, yang kecil tu baru dua bulan lebih. Saya sendiri pun tak tengok lagi,” katanya di sini, hari ini.
Dalam kejadian semalam, lima maut selepas kenderaan Perodua Viva yang dinaiki enam sekeluarga itu hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan merempuh sebuah bas ekspres di Kilometer 176 Jalan Johor Bahru-Seremban.
TONTON: Bayi antara lima maut dalam kemalangan di Segamat
Jenazah mereka dibawa ke rumah keluarganya di kluang sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Hj Manan, Kluang.
Terdahulu bedah siasat yang dilakukan di hospital segamat sejak 12 tengah malam tadi selesai sekitar 10.50 pagi ini.
#Allahyarham Muhamad Abu Dujanah #bayi maut #Labis #lima sekeluarga maut #Muadzam #Nahas segamat #Segamat
;