Nahas rombongan guru: 'Panggilan video perbualan terakhir bersama isteri'
Bernama
Jun 9, 2024 15:30 MYT
Jun 9, 2024 15:30 MYT
ROMPIN: Panggilan video menjadi perbualan terakhir Saifullizan Abu, 53, dengan isterinya Hasnatul Adilah Hassan, 48, yang terkorban dalam kemalangan di Jalan Kuantan-Segamat awal pagi tadi.
Saifullizan berkata menerusi panggilan video sekitar 12 tengah malam itu, isterinya yang merupakan tenaga pengajar di Sekolah Kebangsaan Jeram, Melaka memaklumkan sedang dalam perjalanan dan mahu tidur.
"Benda memang tak jangka, arwah pun macam biasa, gembira, dia penolong kanan sekolah jadi memang sering terlibat dengan pelbagai program," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Saifullizan yang juga seorang guru berkata beliau mendapat khabar duka itu sekitar 3 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
Beliau memaklumkan anak bongsunya Farouq, 12, yang turut berada di dalam bas mengalami kecederaan pada bahagian muka dan sedang mendapatkan rawatan di Hospital Muadzam Shah, di sini.
Bapa kepada lima anak itu berkata selesai proses bedah siasatan, jenazah akan dibawa pulang ke Kampung Ramuan China Besar, Masjid Tanah, Melaka untuk urusan pengebumian.
Anak ketiga mangsa Nur Mujahadah, 22, berkata kali terakhir beliau bertemu ibunya adalah ketika menghantar ibu dan adiknya ke sekolah tersebut untuk bertolak ke Terengganu dan ibunya sempat berpesan supaya memandu berhati-hati ketika perjalanan pulang.
Sementara itu, eksekutif bank Muhammad Saiful Azam Yusof, 26, berkata beliau bersyukur isterinya Nurul Atiqah Jaafar Sedek, 31, terselamat dalam kemalangan yang meragut tiga nyawa itu.
"Selepas kemalangan, isteri saya terus hubungi dan maklumkan dia terlibat. Saya tanya keadaannya, dia cakap baik tetapi tak boleh bangun dan saya terus bergegas ke Hospital Muadzam Shah bersama ayah dan anak," katanya yang ditemui pemberita di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) susulan Nurul Atiqah yang cedera pada bahagian kepala dipindahkan ke hospital itu,
Tiga individu terkorban dalam nahas itu termasuk Hasnatul Adilah, pemandu bas Mohd Adi Hasan, 29, dan Hamzah Ahmad, 60.
Dalam kejadian itu, bas yang membawa 39 penumpang temasuk dua pemandu terbalik di cerun jalan selepas hilang kawalan dan melanggar sebuah treler yang membawa muatan gelung besi.
Bas berkenaan dilaporkan dalam perjalanan membawa guru dari Sekolah Kebangsaan Jeram Masjid Tanah, Melaka bersama anak mereka ke Terengganu untuk menghadiri program penanda aras.
-- BERNAMA