Nahas rombongan guru: Jenazah Hasnatul Adilah selamat dikebumikan
Bernama
Jun 9, 2024 22:47 MYT
Jun 9, 2024 22:47 MYT
ALOR GAJAH: Seorang daripada mangsa yang terkorban dalam nahas di Jalan Kuantan - Segamat, Pahang awal pagi tadi, Hasnatul Adilah Hassan, 48, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Tangki Air di sini pada 8.50 malam.
Terdahulu, jenazah Guru Penolong Kanan 1 Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram itu disembahyangkan oleh kira-kira 300 jemaah dan diimamkan oleh anak keempat arwah, Muzaffar Shah Saifullizan, 19, pada 7.48 malam di Masjid Al-Muhtadi, Ramuan China Besar.
Anak kelima yang juga anak bongsu kepada arwah, Farouq, 12, yang terlibat dalam kemalangan terbabit, turut kelihatan dipapah oleh anggota keluarga untuk menghadiri majlis pengebumian ibunya.
Hadir sama Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer dan Pegawai Kewangan negeri yang menjalankan tugas Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Salhah Salleh.
Sementara itu, adik bongsu arwah, Mej Mohd Hafizuddin Hassan, 37, berkata dia tahu mengenai pemergian kakaknya itu pada 4.30 pagi tadi dan kali terakhir berjumpa dengan arwah ketika cuti Aidilfitri baru-baru ini.
Mohd Hafizuddin berkata dia terkilan kerana tidak sempat bertemu dengan arwah Hasnatul Adilah ketika pulang bercuti ke kampung dua minggu lepas memandangkan amat rapat dengan kakaknya itu.
"Saya menangis sepanjang perjalanan dari Kedah ke sini kerana teringatkan arwah yang merupakan anak sulung daripada enam beradik," katanya yang bertugas di sebuah kem tentera di Sungai Petani, Kedah.
BACA: Kasihnya ibu, Hasnatul Adilah sempat tanya keadaan anak sebelum terkorban nahas rombongan guru
Dalam kejadian awal pagi tadi, tiga individu membabitkan Hasnatul Adilah, Hadi Asyraf Mad Idris, 29, dan Hamzah Ahmad, 60, maut dalam kemalangan apabila bas yang membawa 39 penumpang termasuk dua pemandu terbalik di cerun jalan selepas hilang kawalan dan melanggar sebuah treler yang membawa muatan gelung besi.
Bas berkenaan dilaporkan dalam perjalanan membawa guru dari SK Jeram, Masjid Tanah, bersama anak mereka ke Terengganu untuk menghadiri program penanda aras.
-- BERNAMA