Nahas rombongan guru: Jenazah Dahlia selamat dikebumikan

Bernama
Jun 10, 2024 05:49 MYT
Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Tuang pada 10.50 pagi tadi dan turut dihadiri kira-kira 200 ahli keluarga, kenalan serta rakan sekerja. -FB Dewan Muslimat PAS Masjid Tanah
ALOR GAJAH: Jenazah seorang lagi mangsa kemalangan bas di Jalan Kuantan-Segamat, Pahang yang juga guru Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram Dahlia Ahmad, 52, selamat dikebumikan di sini hari ini.

Ringkasan AI
  • Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram yang merupakan salah satu mangsa dalam kemalangan bas di Jalan Kuantan-Segamat, Dahlia Ahmad, 52, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Tuang selepas disolatkan di Masjid Aminin Kampung Sungai Tuang.
  • Dahlia adalah salah satu dari empat individu yang terkorban dalam kemalangan tersebut. Mangsa lain termasuk Penolong Kanan SK Jeram Hasnatul Adilah Hassan, pemandu kedua bas Hadi Asyraf Mad Idris, dan pembantu operasi sekolah Hamzah Ahmad.
  • Nahas melibatkan bas yang membawa 39 penumpang termasuk dua pemandu. Bas tersebut terbalik di cerun jalan selepas hilang kawalan dan melanggar sebuah treler yang membawa muatan gelung besi. Bas tersebut dalam perjalanan membawa rombongan guru dan anak-anak mereka ke Terengganu untuk menghadiri program penanda aras.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Tuang pada 10.50 pagi tadi dan turut dihadiri kira-kira 200 ahli keluarga, kenalan serta rakan sekerja yang hadir memberikan penghormatan terakhir mereka.
Terdahulu, jenazah disolatkan di Masjid Aminin Kampung Sungai Tuang.
Dahlia meninggal dunia pada 9.30 malam tadi ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.
Mangsa antara empat individu terkorban dalam nahas di Jalan Kuantan-Segamat pada awal pagi Ahad membabitkan Penolong Kanan Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram Hasnatul Adilah Hassan, 48, pemandu kedua bas Hadi Asyraf Mad Idris, 29, dan pembantu operasi sekolah Hamzah Ahmad, 60.
Dalam nahas jalan raya itu, bas yang membawa 39 penumpang termasuk dua pemandu terbalik di cerun jalan selepas hilang kawalan dan melanggar sebuah treler yang membawa muatan gelung besi.
Bas berkenaan dilaporkan dalam perjalanan membawa rombongan guru dari sekolah itu bersama anak mereka ke Terengganu untuk menghadiri program penanda aras.
-- BERNAMA
#mangsa kemalangan bas #Jalan Kuantan-Segamat #guru SK Jeram #Dahlia Ahmad