Nahas Putrajaya: Anthony Loke arah JPJ, APAD siasat lori terlibat kemalangan
Ridauddin Daud
September 20, 2023 16:23 MYT
September 20, 2023 16:23 MYT
KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah diarahkan untuk melakukan siasatan terhadap kemalangan maut melibatkan lori dengan beberapa buah kenderaan lain di Putrajaya pada pagi Rabu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, siasatan akan tertumpu kepada lori terbabit termasuk menyiasat kemungkinan kenderaan itu membawa muatan melebihi had.
Beliau turut memberi jaminan siasatan berhubung insiden itu akan dilakukan secepat mungkin.
“Konvoi itu bukan dengan mana-mana VIP, ia adalah raptai untuk Le Tour de Langkawi (LTdL).
"Itu adalah latihan untuk LTDL. Ini telah diberitahu kepada saya oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
“Sudah pasti ia kejadian yang sangat menyedihkan apabila lori merempuh kenderaan di sana.
“Saya juga telah meminta JPJ dan APAD untuk menjalankan siasatan, sama ada lori berkenaan terlebih muatan atau tidak.
“Melihat daripada gambar lokasi kejadian, muatan lori tersebut agak penuh juga. Jadi kita pasti akan membuat siasatan sama ada terlebih muatan atau tidak,” katanya.
Anthony berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Kuala Lumpur and Selangor Chinese Assembly Hall (KLSCAH) National Affairs Conference di sini, pada Rabu.
Terdahulu, Astro AWANI melaporkan dua penunggang motosikal disahkan maut dalam nahas melibatkan 12 buah kenderaan di Kilometer 5.7 Jalan Persiaran Utara, di sini, pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, kejadian berlaku jam 10.14 pagi.
Ketika kejadian, kesemua kenderaan terbabit berhenti untuk memberi laluan kepada konvoi anggota trafik Le Tour de Langkawi (LTdL).