Nahas pesawat TUDM: Mejar C. Kayamboo selamat dikebumikan

Astro Awani
Disember 22, 2016 12:03 MYT
Pegawai-pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengusung jenazah juruterbang TUDM, mendiang Mejar C. Kayamboo ke kereta jenazah di kediamannya di Taman Sri Nibong. - Foto Bernama
Suasana pilu menyelubungi upacara penghormatan terakhir mendiang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Mejar C. Kayamboo di Batu Lancang , George Town petang tadi.
Mendiang terkorban dalam nahas pesawat TUDM yang terhempas berhampiran Terminal Peluru, Pangkalan Udara Butterworth semalam.
Mendiang dikebumikan di Tanah Perkuburan Hindu Batu Lancang jam 5 petang tadi.
Mayat mendiang sebelum itu tiba dengan diiringi isteri, anak dan ahli keluarga yang lain serta pegawai TUDM kira -kira jam 4.30 petang.
Upacara pengebumian mendiang disempurnakan dengan penuh istiadat ketenteraan dimana keranda yang membawa jenazah mendiang Kayamboo dilitupi jalur gemilang dan diusung oleh anggota tentera berpakaian istiadat.
Panglima Operasi Udara TUDM, Leftenan Jeneral Datuk Seri Abdul Mutalib Abd Wahab bersama pegawai kanan TUDM turut hadir memberi penghormatan terakhir kepada mendiang.
BACA: Mendiang meninggal pada hari ulang tahun - Rakan Mejar Kayamboo
BACA: Nahas TUDM bunyi seakan-akan letupan bom - Saksi
FOTO: Pesawat TUDM terhempas di Butterworth
Ibu mendiang, Inderadewi , isteri S. Usha serta dua anak lelaki mendiang Kayamboo tidak dapat menahan perasaan sebaik upacara keagamaan terakhir dilakukan.
Selesai pengebumian, Abd Mutalib menyerahkan Jalur Gemilang kepada ibu bapa mendiang, M. Chellam dan K. Inderadewi sebagai penghormatan terakhir kepada keluarga mendiang.
Dianggarkan lebih 300 anggota TUDM dan ahli keluarga hadir memberi penghormatan terakhir kepada mendiang.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.18 petang Rabu itu, pesawat yang diterbangkan Mejar C. Kayamboo terhempas di Pangkalan Udara Butterworth.
Kayamboo terbunuh manakala seorang pembantu juruterbang dan dua anggota mengalami kecederaan.
Pesawat malang itu berlepas dari Pangkalan Udara Subang untuk melakukan latihan penerbangan sebelum terhempas berhampiran Terminal Peluru di Lapangan Terbang tersebut.
#Mejar C. Kayamboo #Nahas pesawat TUDM #Pangkalan Udara Butterworth #selamat dikebumikan