Nahas pelajar Polimas: Bapa terkilan tidak dapat beli komputer riba buat Syuhada

Astro Awani
Disember 6, 2014 09:42 MYT
ABDUL KADIR: Terkilan tidak dapat beli komputer riba anak. -Gambar fail
Bapa kepada mangsa kemalangan, Allahyarham Noor Syuhada Abdul Kadir, 19, terkilan apabila tidak dapat membeli komputer riba permintaan anaknya seminggu sebelum kemalangan berlaku.
Menurut Abdul Kadir Mahmud, 55, Syuhada yang merupakan anak ketiga daripada enam beradik menyuarakan hasratnya itu menerusi telefon bimbit minggu lalu ketika dia berada di asrama tempatnya belajar di Politeknik Sultan Abdul Halim (Polimas), Jitra.
Kata Abdul Kadir, Shuhada merupakan seorang anak yang baik dan mesra dengan sanak saudara meminta dibelikan komputer riba itu supaya memudahkan tugasnya untuk menyiapkan tugasan semasa di kampus.
"Lebih-lebih lagi apabila dia melihat rakan-rakannya yang lain telah memiliki komputer riba sendiri," katanya.
Bagaimanapun, jelas Abdul Kadir, dia terkilan apabila dimaklumkan jiran yang berada di tempat kejadian bahawa salah orang mangsa adalah anak kesayangannya.
Ujarnya, ketika kejadian, anaknya bersama empat lagi rakan pulang dari kenduri kahwin di Alor Setar menuju ke Polimas.
Shuhada merupakan salah seorang mangsa yang maut dalam kejadian kemalangan di Jalan Tok Jalai, Kepala Batas, Alor Setar bersama seorang rakannya, Naemah Jamal, 19 tahun.
Kereta Perodua Kancil yang dinaiki mereka gagal dikawal dan terbabas ke dalam parit.
Kejadian pada kira-kira jam 5 petang itu turut menyebabkan seorang lagi rakannya maut, manakala tiga yang lain cedera ringan dan dirawat di Hospital Jitra.
"Dia (Shuhada) telefon kata hendak duit untuk beli komputer riba, untuk mudahkan dia belajar. Dia kata dia nak guna komputer riba," kata Abdul Kadir.
Dalam pada itu, ibunya, Hasnah Hasan, 55, berkata anaknya seorang yang pendiam dan lebih banyak berahsia ketika berbual dengannya pada malam sebelum kejadian.
Malah jelasnya, arwah kelihatan tidak seceria seperti sebelum ini, namun tidak menyangka perubahan kelakuan itu menjadi petanda dia pergi selama-lamanya.
"Sehari sebelum kemalangan, dia memang kerap telefon, dia kata tidak boleh balik minggu ni.
"Minggu ini dia tidak cakap banyak cuma suara dia nampak sedih sahaja. Dia kata kawan-kawan dia sudah ada komputer," jelasnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Abdul Rahim Abdullah ketika dihubungi berkata, kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian akibat parah di bahagian kepala dan badan.
"Kenderaannya dan empat rakan lain hilang kawalan sebelum melanggar sebuah motosikal dan terbabas ke dalam parit berdekatan," ujarnya.
Katanya lagi, kedua-dua mangsa tercampak keluar dari kereta dan terjatuh ke dalam parit berhampiran.
Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Jitra untuk bedah siasat.
Jelasnya, kes disiasat mengikut seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian.
Abdul Rahim meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian tampil membantu pihak polis untuk menjalankan siasatan.
Sementara itu, suasana sedih menyelubungi pekarangan rumah Allahyarham Syuhada apabila ramai kenalan arwah berkunjung menziarahi mangsa di Kampung Pegawai, Alor Janggus, Alor Setar.
Allahyarham Syuhada selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Jamek, Kampung Kubang Jawi, Alor Janggus, Alor Setar kira-kira jam 11 pagi Jumaat.
#Hospital #kebumi #Kedah #komputer #polimas #terkilan
;