Nahas pacuan empat roda bertembung lori simen di Sandakan, satu maut

Radhi Muslim
Mac 20, 2021 09:52 MYT
Seorang maut manakala seorang lagi parah dalam satu kemalangan ngeri di Jalan Labuk dekat Batu 16, Sandakan, pada awal pagi Sabtu. - JBPM Sandakan
SANDAKAN: Seorang maut manakala seorang lagi parah dalam satu kemalangan ngeri di Jalan Labuk dekat Batu 16, Sandakan, pada awal pagi Sabtu.
Kemalangan membabitkan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) yang bertembung dengan lori simen sehingga mengakibatkan dua individu tersepit.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, pemandu 4WD yang dikenali sebagai Lai Yun Kyun, berumur dalam lingkungan 50-an, dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Manakala, penumpangnya cedera parah, namun identiti mangsa belum dikenal pasti setakat ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada jam 4.34 pagi sebelum tujuh anggota dikerah ke lokasi sejauh 22 kilometer.
“Dua individu dalam pacuan empat roda dilaporkan tersepit dan kedua-duanya dikeluarkan anggota bomba.
“Namun, pemandu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala penumpangnya dilaporkan cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan untuk rawatan lanjut.
“Sementara itu, pemandu lori simen tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Sabtu.
Operasi tamat pada jam 7.14 pagi.
#kemalangan #maut #pacuan empat roda #lori simen #Lai Yun Kyun #pemandu maut #Hospital Duchess of Kent #Jimmy Lagung
;