Nahas ngeri Ayer Keroh: Jenazah lima sekeluarga selamat dikebumikan
Khalis Khadir
Disember 24, 2024 20:55 MYT
Disember 24, 2024 20:55 MYT
BANGI: Suasana pilu menyelubungi pengebumian jenazah lima sekeluarga yang terbabit dalam nahas di Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di Melaka.
Kelima-lima jenazah, Khairul Izwan Mazupi dan isteri Fadzlenna Ramli yang masing-masing berusia 32 tahun serta anak mereka, Muhammad Umar, 2, selamat dikebumi kira-kira jam 7.30 malam tadi.
Jenazah Fadzlenna dikebumikan bersama anaknya, Muhammad Umar dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Sungai Tangkas, Kajang, Selangor.
Dua lagi jenazah disemadikan di situ ialah ibu bapa Fadzlenna, iaitu Ramli Ab Wahab, 66, dan Fauziah Jaafar, 69.
Terdahulu, jenazah dikafankan di Hospital Melaka sebelum dibawa ke Bangi untuk disolatkan di Surau Al-Ikhlas Seksyen 4, jam 6.15 petang.
Antara yang hadir memberikan penghormatan terakhir ialah Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Khairul Ikhwan meninggalkan dua anak, Muhammad Uwais Al-Qarni Khairul Ikhwan, 7, dan Nur Sofea Humaira Khairul Ikhwan, 4, yang kini dirawat di zon merah dan zon kuning Hospital Melaka.
Tujuh termasuk lima sekeluarga maut manakala 33 cedera dalam kemalangan 8.45 malam semalam (Isnin) membabitkan sebuah bas persiaran membawa 27 penumpang, dua lori, sebuah kereta dan kenderaan pelbagai guna (MPV) di KM204 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).
Siasatan awal mendapati bas persiaran itu terlanggar tayar lori yang tercabut di lorong tengah menyebabkan ia hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan.
Bas itu kemudian bertembung dengan tiga kenderaan hingga menyebabkan lima mangsa dalam Toyota Estima serta seorang pemandu bas dan penumpang bas meninggal dunia.