Nahas ngeri Ayer Keroh: Ini apa anda perlu tahu
Astro Awani
Disember 24, 2024 17:49 MYT
Disember 24, 2024 17:49 MYT
KUALA LUMPUR: Nahas jalan raya yang mengorbankan lima sekeluarga serta dua yang lain di Kilometer 204 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara Ayer Keroh pada Isnin, nyata menggemparkan ketika negara sedang memasuki musim perayaan Krismas dan Tahun Baharu.
Insiden itu turut mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mendoakan agar kesemua mangsa yang terkorban mendapat tempat istimewa di sisi-Nya, selain Menteri Pengangkutan Anthony Loke, yang memberi jaminan bahawa siasatan terperinci akan dijalankan.
Berikut merupakan kronologi kejadian:
* Tujuh maut, 33 lagi cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah bas, dua buah lori treler, dan dua buah kereta di Kilometer 204 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara dari Ayer Keroh menghala ke Simpang Ampat, Melaka.
* Siasatan awal mendapati lori treler pertama dan sebuah bas persiaran yang membawa 27 penumpang berkenaan dari arah utara ke selatan, sementara tiga kenderaan lain dari arah bertentangan
* Tayar hadapan sebelah kanan lori treler tersebut didakwa tercabut, dan berada di lorong tengah jalan, menyebabkan bas yang sedang bergerak gagal mengelak, serta hilang kawalan.
* Bas berkenaan dipercayai terbabas ke jalan bertentangan, dan merempuh tiga kenderaan lain iaitu sebuah kereta, sebuah lagi lori treler yang dipandu seorang lelaki bersama kelindan, dan sebuah MPV yang dinaiki lapan individu.
Mangsa yang maut masing-masing ialah pemandu dan penumpang bas, serta lima sekeluarga yang menaiki MPV.
Insiden itu mengakibatkan kesesakan lebih 10 kilometer di kedua-dua arah lebuh raya berkenaan
SENARAI MANGSA KORBAN:
Khairul Ikhwan Mazupi, 32 tahun, pemandu MPV
Fadzlenna Ramli, 32 tahun, isteri Khairul Ikhwan
Muhammad Umar Khairul Ikhwan, 2 tahun, anak bongsu Khairul dan Fadzlenna
Ramli Ab Wahab, 66 tahun, bapa Fadzlenna
Fauziah Jaafar, 69 tahun, ibu Fadzlenna dan merupakan warga Singapura
Noorisnien Khamid, 56 tahun, pemandu bas; dan
Lamrah Asid Ali, 66 tahun, penumpang bas dan merupakan warga Singapura.