Nahas ngeri Ayer Keroh: 'Arwah abang menangis bila salam, peluk' - Adik pemandu bas

Bernama
Disember 24, 2024 14:10 MYT
Noorismail (foto) berkata Allahyarham akan bertemu dengannya sebelum mulakan perjalanan ke mana-mana destinasi, namun tidak berbuat demikian semalam. -Bernama
MELAKA: Pemandu bas persiaran Noorisnien Khamid, 56, yang maut dalam nahas membabitkan lima kenderaan di KM204 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara di sini malam tadi dikatakan berubah sikap sejak beberapa bulan lepas.

Ringkasan AI
  • Pemandu bas persiaran Noorisnien Khamid, yang maut dalam kemalangan, dikatakan berubah sikap sejak beberapa bulan lepas, sering menangis ketika bertemu keluarga.
  • Adik mangsa, Noorismail dimaklumkan tentang kemalangan oleh seorang rakan yang terperangkap dalam kesesakan akibat kemalangan itu.
  • Allahyarham akan bertemu dengannya sebelum mulakan perjalanan ke mana-mana destinasi namun tidak berbuat demikian semalam, kata Noorismail.

"Arwah abang saya berubah sejak beberapa bulan kebelakangan ini. Kalau jumpa, bersalam atau berpeluk dengan dia, mesti dia menangis," menurut adik mangsa, Noorismail Khamid, 50.
Noorismail berkata dia dimaklumkan nahas membabitkan abangnya daripada seorang rakan yang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur, yang terperangkap dalam kesesakan akibat kemalangan itu dan pada masa sama melihat gambar kad pengenalan mangsa yang tular menerusi media sosial.
"Sejak Maghrib saya rasa tak sedap hati, mengantuk semacam... tak sangka ini (kemalangan) yang menimpa keluarga saya," kata anak bongsu daripada lapan beradik itu ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka, di sini, hari ini.
Noorismail berkata abangnya yang menetap di Kampung Tawakal, Kempas, Johor menjadi pemandu bas sambilan selepas berhenti kerja sebagai ketua pemandu di sebuah syarikat persiaran pada 2020 susulan COVID-19.
Menurut Noorismail, Allahyarham akan bertemu dengannya sebelum memulakan perjalanan ke mana-mana destinasi namun tidak berbuat demikian semalam.
"Allahyarham meninggalkan empat anak dan seorang cucu. Jenazah abang saya dijangka dikebumikan selepas asar hari ini di Tanah Perkuburan Islam Kampung Maju Jaya, Kempas," katanya.
[INFOGRAFIK] Kronologi nahas Ayer Keroh
Tujuh termasuk lima sekeluarga maut manakala 33 cedera dalam kemalangan 8.45 malam tadi membabitkan sebuah bas persiaran membawa 27 penumpang, dua lori, sebuah kereta dan MPV di KM204 Lebuhraya PLUS arah utara.
Siasatan awal mendapati bas persiaran itu terlanggar tayar lori yang tercabut di lorong tengah dan menyebabkan hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan tiga kenderaan hingga menyebabkan lima penumpang Toyota Estima dan pemandu bas berkenaan meninggal dunia.
-- BERNAMA
#nahas ngeri Ayer Keroh #pemandu bas #Noorisnien Khamid #Noorismail Khamid
;