Nahas motosikal terbabas: Lelaki maut selepas 18 jam bertarung nyawa
Bernama
Februari 13, 2025 14:10 MYT
Februari 13, 2025 14:10 MYT
Rakaman kejadian penunggang motosikal hilang kawalan dan merempuh sebuah kereta dari arah bertentangan yang tular di media sosial. -Video tular
GEORGE TOWN: Seorang penunggang motosikal disahkan meninggal dunia selepas 18 jam bertarung nyawa akibat terlibat dalam kemalangan di jalan tetembok (terowong) Jalan Masjid Negeri, di Gelugor, Pulau Pinang.
Ringkasan AI
- Seorang penunggang motosikal berusia 21 tahun meninggal dunia selepas 18 jam bertarung nyawa akibat kemalangan di terowong Jalan Masjid Negeri, Gelugor.
- Kemalangan berlaku apabila penunggang motosikal hilang kawalan dan merempuh sebuah kereta dari arah bertentangan, menyebabkan kecederaan parah kepada penunggang dan kecederaan ringan kepada seorang kanak-kanak dalam kereta tersebut.
- Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, dan saksi diminta tampil membantu siasatan. Video kemalangan menunjukkan motosikal memasuki laluan bertentangan di terowong yang tidak dibenarkan untuk motosikal.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Abdul Rozak Muhammad berkata lelaki tempatan berusia 21 tahun itu meninggal dunia pada 1.10 pagi tadi ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang.
"Dalam kemalangan pada 7.30 pagi semalam, penunggang motosikal itu dipercayai telah hilang kawalan lalu merempuh sebuah kereta dari arah bertentangan dan mengalami kecederaan parah sebelum dihantar ke hospital
"Kereta itu dipandu wanita tempatan berusia 46 tahun dan terdapat seorang kanak-kanak perempuan berumur 11 tahun di kereta tersebut. Pemandu tidak mengalami kecederaan namun kanak-kanak tersebut cedera di tangan," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saksi atau sesiapa yang melihat kemalangan tersebut diminta tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan pihak polis.
Terdahulu tular video berdurasi 16 saat memaparkan seorang lelaki menunggang motosikal dan ketika melalui selekoh di laluan terowong itu, motosikal tersebut telah masuk ke laluan bertentangan lalu merempuh sebuah kereta.
Berdasarkan papan tanda di kawasan itu motosikal tidak dibenarkan menggunakan jalan tetembok atau laluan bawah bulatan Udini tersebut sebaliknya perlu menggunakan laluan bulatan.
-- BERNAMA
#penunggang motosikal maut
#Hospital Pulau Pinang
#motosikal terbabas
#rempuh kereta
#Jalan Masjid Negeri