Nahas maut 4 sekeluarga: Arwah sempat belanja pelanggan di kedai makan - Adik
Bernama
November 13, 2022 17:06 MYT
November 13, 2022 17:06 MYT
ALOR GAJAH: Hasrat seorang datuk menyambut ulang tahun kelahirannya di Pulau Langkawi berakhir tragedi apabila terkorban bersama tiga lagi ahli keluarganya dalam kemalangan awal pagi tadi.
Adik bongsu Allahyarham Ibrahim Daud iaitu Osman, 62, berkata abangnya itu sangat teruja untuk ke Langkawi hingga Selasa ini sambil menyambut ulang tahun kelahirannya yang kebetulan jatuh pada hari ini.
"Arwah beritahu saya nak ke sana sejak minggu lepas lagi dan kali terakhir jumpa arwah pagi tadi masa solat subuh di masjid dan bersarapan di kedai makan saya.
"Tiada apa yang lain cuma arwah sempat belanja semua pelanggan yang ada di kedai sebelum pulang dan bersiap-siap untuk ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk ke Pulau Langkawi," katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Alor Gajah di sini hari ini.
Dalam kejadian 7.45 pagi tadi, Ibrahim, 71, dan isteri Latipah Dorahim, 66, Syazana Tahrin (menantu) dan cucu lelaki Yusuff Daniel Muhammad Izwan, 5, maut selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Simpang Tiga, Jalan Kolam Machap.
Suami Syazana iaitu Muhamad Izwan, 30, tidak mengalami kecederaan manakala seorang lagi anaknya Aniq Fahim, 3, setakat ini dilaporkan kritikal dan masih mendapatkan rawatan di Hospital Melaka.
Osman berkata bagi urusan pengebumian, pihaknya masih belum memutuskan lokasinya dan bergantung kepada keputusan bersama semua ahli keluarga.
"Kita akan tunggu urusan bedah siasat selesai dan baru putuskan tempatnya. Mungkin di Tanah Perkuburan Islam Felda Bukit Senggeh atau Tanah Perkuburan Islam Pondok Batang," katanya.
Sementara itu, ibu arwah Syazana, Natipah Osman, 56, berkata beliau tidak sangka akan berpisah buat selama-lamanya dengan cucunya yang dijaga sejak kecil serta anaknya.
"Mak cik jaga kedua-dua beradik itu sejak kecil sebab mak dan ayah mereka bekerja. Jadi memang rapat," katanya yang mendapat panggilan mengenai kejadian itu pada 8.30 pagi.
-- BERNAMA