Nahas lubang pembinaan, PBT perlu pantau kontraktor - Lam Thye
Israr Khalid
Disember 27, 2017 13:43 MYT
Disember 27, 2017 13:43 MYT
Pihak berkuasa tempatan (PBT) yang bertanggungjawab mengeluarkan permit operasi bagi sesuatu kerja pembinaan perlu memantau setiap kerja yang dijalankan kontraktor di lokasi.
Tegas Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye, kegagalan berbuat demikian akan mendorong kontraktor yang tidak bertanggungjawab menjalankan kerja pembinaan dengan secara sambil lewa sehingga mengabaikan keselamatan.
“Sudah pasti kemalangan yang berlaku melibatkan seorang penunggang motosikal yang maut selepas terhumban ke dalam lubang di Kuching (semalam) adalah kerana kontraktor gagal mematuhi garis panduan serta prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Namun insiden tersebut membongkarkan kekurangan pengawasan atau pengauditan terhadap kawasan kerja yang dibuat pihak kontraktor,” katanya ketika dihubungi Astro Awani di sini, hari ini.
Lubang yang dikorek untuk kerja penyelenggaraan sistem perparitan dan saliran yang tidak dihadang dengan rapi di menyebabkan seorang lelaki, Dina Dzulkarnain Asan, 29, maut selepas terperosok ke dalam lubang tersebut bersama motosikal ditunggangnya.
Kejadian dekat Hotel Merdeka Palace, Padang Merdeka itu berlaku sekitar 7.15 pagi.
Kata Lam Thye lagi, ia disebabkan pihak kontraktor tidak mematuhi prosedur keselamatan yang sepatutnya, seperti pemasangan penghadang dan papan tanda amaran yang sesuai di tempat yang betul.
“Tidak ada papan tanda amaran yang jelas diletakkan di lokasi, manakala hanya penghadang diperbuat daripada polikarbonat (PC) malah diletakkan betul-betul pada tebing lubang tersebut.
“Sepatutnya penghadang konkrit digunakan dan perlu diletakkan di tempat yang sesuai supaya tidak mengakibatkan kemalangan berlaku dengan mudah,” tegasnya.
Beliau berulang kali menekankan supaya pihak PBT tidak ambil sambil lewa dan perlu sentiasa menjalankan pengauditan untuk memastikan kontraktor ikut dan patuh segala SOP lebih-lebih lagi berkaitan aspek keselamatan orang awam dan pekerja sendiri.
Tindakan tegas seperti menarik balik permit kerja boleh dibuat dengan segera terhadap kontraktor yang gagal berbuat demikian, tidak perlu menunggu sehingga ada kemalangan maut berlaku untuk bertindak.
#Hotel Merdeka Palace
#Jalan Merdeka
#Kontraktor
#Kuching
#Lee Lam Thye
#leweh
#lubang selenggara perparitan dan saliran
#nahas lubang pembinaan
#NIOSH
#pbt
#pihak berkuasa tempatan
#SOP